Isnin, September 29, 2008

Keluar 3 Hari...




"..bulan Ramadhan bulan ibadah, pahala digandakan doa diterima.."
. Merdu alunan suara kumpulan Hijjaz, menceriakan perjalanan kami meninggalkan Bandaraya Kota Kinabalu untuk seketika.


Saya, sdr fairuz, sdr Yusri, Cikgu Fakkar dan Cikgu Anuar akan berwisata selama 3 hari dalam misi memburu Lailatul Qadr yang agung itu. Disamping itu, kami akan
memberikan sedikit sumbangan daripada Yayasan AMAL untuk tempat-tempat yang akan kami kunjungi nanti. Antara destinasi yang akan kami tuju iaitu Masjid kg Wonod Telupid, Masjid Daerah Beluran dan PASTI Kinabatangan.



Mudah-mudahan ada rezki....





Masjid Kg Wonod, Telupid



Masjid Kg Wonod



Terhibur hati saya melihat anak-anak kecil Kg Wonod, berlari-lari riang mendapatkan sdr Fairuz....




Sdr Fairuz bersama kanak-kanak Kg Wonod



" pakcik,pakcik...dia belum dapat lagi ". kata seorang kanak-kanak kepada sdr Fairuz



" Mana dia, panggil pigisini "...Kata sdr Fairuz yang sedang dikerumuni anak-anak kecil Kg Wonod.



" Adik ni pandai membaca ka ndak ? "..Tanya sdr Fairuz. Saya hanya memerhati gelagat anak-anak kecil itu dari jauh. Malas nak campurtangan.



" Kalau ndak pandai membaca, nah ambil yang ini. Kalau pandai membaca ambil yang ini"..Sdr Fairuz memberikan sekeping majalah ana muslim. Bukan main gembira lagi adik tersebut, lantas kembali mendapatkan semula kawan-kawannya yang tengah khusyuk membelek-belek majalah ana muslim yang diberikan tadi.



Wajah anak-anak kecil ini, mewarisi ketabahan ibu bapa mereka mengharungi hidup dalam dunia yang dipinggir oleh kemajuan, namun tetap bersyukur dan redha walau dengan hanya rezeki padi huma dan dusun buah-buahan di lereng-lereng bukit. Sejuk hati menatap, timbul rasa kasihan untuk membelai.


...tiba-tiba saya disapa



"...Pakcik, saya pun mau buku jugak.."..seorang adik kecil bertudung comel persis watak utama majalah ana muslim.



" Oh, adik mau jugak. mari sini pakcik bagi buku "...adik tersebut tersenyum gembira. Tahi lalat di bawah bibirnya menambah manis lagi senyumannya. Adik ini masih bersekolah rendah, kalau 'budak ISEUMS', lama sudah saya jatuh hati.



Saya dikhabarkan oleh orang-orang lama disini, terdapat lebih kurang 10 keluarga muallaf yang tinggal agak jauh dari Masjid Kg Wonod. Jauhnya lebih kurang 3 ke 4 batu ke dalam kampung, yang kebanyakkannya terdiri daripada masyarakat Dusun. Tanpa sebarang enjin bermotor boleh masuk ke dalam, keluarga muallaf ini tetap teguh berpegang dengan Islam biarpun terpaksa mewarisi 'papa kedana', kerana itulah perjanjian sebelum memeluk Islam… " kamu tidak boleh mewarisi harta keluarga"…


Ustaz Tasim ( 3 dari kiri ) bergambar dihadapan sekolah agama Kg Wonod

Saya juga kagum dengan semangat Ustaz Tasim selaku tenaga pengajar yang dilantik oleh JAKIM disini. Beliau sanggup mendaki lereng-lereng bukit, melalui denai-denai hanya semata-mata untuk mendidik saudara baru kenal alif, ba, ta dan asas-asas solat. Bagi beliau, itulah usaha yang mampu dilakukannya kerana pendakyah kristian menggunakan wang untuk memujuk semula keluarga yang baru memeluk Islam ini. Saudara baru ini begitu bersungguh sungguh mempelajari Islam, malah mengharapkan agar kami sentiasa datang memberi kuliah di kampung mereka.




Situasi Berbeza


Berbeza pula di alam kampus yang kononnya tempat berhimpun para intelek, walaupun pelbagai program ilmu disajikan tapi hambar dari segi kehadiran. Yang dikejar, yang ditampung habis-habisan hanyalah program-program fasiq bersulam munafiq, berkosmetik dengan apa yang dinamakan sebagai 'semangat patriotik, kebudayaan' dan yang sewaktu dengannya. Yang dicanang, yang di usahakan habis-habisan hanyalah kekeliruan yang faedahnya habis hilang bagai debu-debu berterbangan. Bukannya tidak ada alternatif disediakan, tapi hakikat akal yang tidak mahu tunduk kepada kebenaran walaupun jelasnya seperti matahari terik diatas kepala. Buku-buku yang diusung setiap hari keluar masuk kuliah, hanya menambah maklumat dalam kepala, bukannya ilmu dalam dada. Sebab itu, petunjuk dan kesesatan tidak mampu dibezakan lagi. Nafsu dan akal saling bantu membantu ke jalan kesesatan dan kekeliruan. Sesat lagi menyesatkan. Sanggupkah menukar hidayah dengan kesesatan ? bagaimana mungkin terjadi ?..Nauzubillahi minzalik...



Belilah hidayah Allah biar semahal mana sekalipun. Juallah kesesatan dengan harga yang paling mahal, biar tiada seorang pun didunia ini mampu membelinya.



Ke Beluran


Rombongan kami bertolak meninggalkan kg Wonod dengan harapan, kami akan membantu sedaya yang mungkin. Saudara seIslamku, genggamlah Islam walau seperti menggenggam bara api.


Kami meneruskan pemburuan kami ke destinasi yang seterusnya iaitu Beluran..




Khamis, September 25, 2008

PASTI di Kg Lobou





Sekali lagi, rezeki berbuka puasa saya bersama masyarakat Dusun di Kg Lobou. Semenjak dua menjak ni, saya begitu dekat dengan masyarakat Dusun.
Seperti di kampung lain, suasana 50/50 muslim dan non muslim adalah suasana yang biasa saja.

Mungkin ada hidayah yang menanti, di penghujung kegelapan menanti kasih-Nya


tuhan....Kita ada urusan dakwah yang belum beres




Lihat itu..para petugas sedang membahagi-bahagikan sumbangan berbentuk buah kurma yang akan diberikan penduduk kampung. Istimewanya kurma Aslam produk ni kerana tertera disitu " Sumbangan Ikhlas oleh Y.b Ustaz Nasharudin Mat Isa "










Selesai solat maghrib, Cikgu Anuar memberikan tazkirah mengingatkan semua yang hadir tentang malam Al Qadr. Pada masa yang sama, PASTI Kg Lobou ditubuhkan selepas setahun lebih penantian orang-orang kampung. Pelajar non muslim pun akan diterima masuk sebagai murid di PASTI ini.










Bumi yang subur


Jika anda tahu, bumi Sabah ini adalah bumi yang paling subur untuk dakwah. Seperti benih yang ditanam, disiram dan dibaja setiap hari. Hari esok, minggu depan, satu persatu tunasnya tumbuh dan akarnya menjalar terhunjam ke bumi. Setelah itu, dedahannya menjulang tinggi, mencapah lalu peputiknya pun tumbuh mengerumuni ranting-rantingnya. Akhirnya, ia tumbuh besar menjadi pohon yang rendang dan lebat dengan buah-buahan yang senang untuk dipetik. Pohon itu juga menjadi tempat berteduhnya musafir yang dalam pemergian, singgah sebentar sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi yang di tuju.



Begitulah ibaratnya dakwah....hari ini kita tanam benihnya, esok kita petik hasilnya




.....Salam Lebaran semuanya.....




Ahad, September 14, 2008

Jelajah ke Nunuk Ragang



Ada Cerita


Pemandangan lembah Nunuk Ragang



Hampir setahun lamanya saya meninggalkan bumi Nunuk Ragang. Kini, saya beserta sahabat-sahabat Yayasan AMAL bakal berjejak semula ke tanah asal usul kelahiran suku kaum Dusun yang penuh dengan lagendanya.

Sebenarnya saya lebih terkesan dengan sejarah Islam yang pernah tercatat dalam lipatan keindahan lembah ini. Pada zaman pemerintahan USNO dulu, inilah kawasannya tempat pengIslaman lebih kurang 3000 orang penduduk kampung disekitar Nunuk Ragang ini. Seperti sejarah yang telah berlalu, meninggalkan pedih dihati ummat mengenangkan penduduk kampung yang telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah itu kini cuma lebih kurang 10 keluarga sahaja yang masih Islam. Yang selebihnya, telah bertukar ke agama Kristian. Satu sejarah luka yang pahit, namun terpaksa ditelan jua.

Ya Allah, kepada siapakah amanah ini yang telah Engkau pikulkan ? Ampunilah hamba-hambaMu ini diatas segala kelemahan dan kecuaian..........


" Kenapa kebanyakkan jiran-jiran Pakcik masuk agama Kristian ?..saya bertanya kepada seorang penduduk kampung yang kami ziarahi.

" Dulu, lepas kerajaan kasi masuk Islam, dorang tidak datang lagi ajar orang kampung macamana ibadat selepas masuk Islam "..bersungguh pakcik tersebut menerangkan kepada rombongan saya

" Jadi, bila orang Kristian datang, diorang selalu datang ajar orang kampung macamana mau buat ibadat, kasi bantuan sama orang kampung. Itu sebabnya banyak orang kampung ikut pendakwah Kristian " ..sambung pakcik tersebut.

Saya tertunduk bisu




Surau An Najah



Surau An Najah terkini


Hampir setahun lalu, Surau An Najah ini hanya ada ruang solat tanpa ada sebarang kelengkapan asas seperti elektrik, tandas dan bekalan air. Bayangkanlah surau yang terletak bersebelahan dengan jalan utama K.K - Tawau masih tidak mendapat bekalan elektrik !

Alhamdulillah, selepas bertahun usaha gigih Ustaz Akhwan dan team Unit AMAL Pusat berulang alik ke Sabah memberi bantuan kepada penduduk kampung, akhirnya surau ini sudah ada sedikit kemajuan dari segi kemudahan asasnya. Banyak pihak terutamanya daripada jabatan kerajaan telah mula memberi perhatian dengan memberi peruntukkan kewangan untuk memajukan surau ini. Usaha dakwah yang seharusnya ditauladani daripada team Unit AMAL dan Yayasan AMAL.

Pada hari yang sama, kami berbuka puasa bersama penduduk kampung yang datang bersama anak-anak kecil yang masih didukung oleh ibu-ibu. Selesai berbuka, sumbangan berbentuk keperluan makanan diberikan kepada penduduk kampung yang datang dan selepas itu bersolat terawih pula yang di Imamkan oleh Presiden Persatuan Siswazah Sabah, Sdr Bunyamin. Ternyata, penduduk di sini berasa bertuah dengan kehadiran kami dan sentiasa memberikan sambutan hangat setiap kali kami berkunjung ke sini.


Sumbangan kepada penduduk Kampung


Keesokkan paginya, kami semua bersiap-siap untuk pulang. Ada sahabat-sahabat yang pulang ke Tawau dan Sandakan. Walaupun hanya sehari dua, rasa puas berbunga dihati kerana dapat membantu orang kampung tambah-tambah lagi di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.



Kami balik dulu Nunuk Ragang. Besok-besok kami datang lagi ya.....




Khamis, September 11, 2008

Ke Pejabat BPR

Semalam saya ke pejabat Badan Pencegah Rasuah.


Pada pukul 12.00 tengah hari, saya dihubungi pejabat Ketua Pemuda KEADILAN Sabah iaitu Bro Razak. Beliau meminta senarai nama wakil Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah yang akan ikut serta menyerahkan laporan di Pejabat Badan Pencegah Rasuah.




Isunya berkenaan kenyataan Dato' Yong Teck Lee dalam Utusan Melayu kalau tidak silap saya yang mengatakan dua ADUN yang terlibat dengan perjumpaan di Taiwan kerana mendapat 'hadiah wang saku' berjumlah RM 50,000.00

Selesai bertemu dengan wakil pengarah BPR, kami ditemu ramah oleh wartawan yang datang termasuk daripada Utusan Melayu yang agak mengenali saya.

Hmm...politik di Sabah, sinonim dengan jurus lompat melompat. 16 September tarikh yang memberi kesan yang berbeza sabah dan semenanjung untuk kita nantikan kemunculannya. Samada ia memberi kesan kepada kuasa Islam atau tidak, " Something must be done "




Berbuka di Kg Kobuni








Kesesakkan bandar Inanam yang mendera perasaan bertukar menjadi tenang dan damai sebaik saja kereta Ford Ranger Cikgu Anuar menyusur masuk ke kawasan perkampungan Kg Kobuni.

Ah..tenangnya suasana Kg ini...Sambil mata saya meneroka setiap sudut bukit-bukau yang memagari kampung kobuni. Perlahan-lahan perasaan tenang meresap masuk ke dalam hati saya.

Saya pertama kali melangkah masuk ke surau Kg kobuni yang dinamakan dengan surau Al Aqsa. Walaupun tidak sebesar mana, tapi cukup menampung kehadiran jamaah setiap kali solat berjamaah. Dalam keadaan sebegitupun orang-orang kampung tetap istiqamah mendirikan perintah Allah s.w.t...Kg Kobuni, Islammu menyentuh hatiku untuk lebih bersyukur.



Berbuka puasa bersama orang kampung

Sebenarnya, Kg kobuni ini memang sudah dikenali bukan sahaja disekitar daerah Inanam. Malah banyak institusi pengajian tinggi yang berlumba-lumba untuk mengadakan program termasuklah NGO-NGO Islam. Entah apa rahsia orang kampung disini.

Kalau disebabkan keindahan alam semulajadinya, memang ya. Kalau pada keramahan dan lemah lembut orang kampung disini memang sudah semestinya. Suku kaum Dusun yang majoritinya penghuni kampung Kobuni memang dikenali dengan lemah lembutnya.

Tiba-tiba wajah Nazrey Johani, vokalis kumpulan Raihan menjelma dalam minda saya. Beliau juga dari suku Dusun. Katanya.." kalau nak cari calon, carilah orang dusun. Setia kepada suami "..Wah, cepat-cepat saya mengusir fikiran yang bukan-bukan....Ujian orang bujang

Dan satu lagi, inilah satu-satunya kampung muslim ditengah-tengah deretan kampung non muslim sepanjang perjalanan dari bandar Inanam ke Kg Kobuni




Generasi muda Kobuni

Selesai solat Isyak, saya menggantikan cikgu Anuar untuk mengimami solat terawih pada malam itu. Mikrofon yang tidak berfungsi dengan baik memaksa saya menguatkan suara agar dapat didengari oleh saf muslimat dibelakang. Walaupun pitching suara saya agak lari kerana selsema, saya teruskan mengalunkan bacaaan terawih ala-ala Syeikh Al ghamidi. Sesekali tiun suara lari, sebijik macam suara serak-serak basah Amy Search.

Selesai salam, suara saya sudah hilang...fuh, nasib baik 11 rakaat


Saya menghabiskan masa more bersama anak-anak muda Kobuni...alahai, mereka ni pun lebih kurang macam saya juga rupanya, jejaka pemalu semuanya. Tapikan Rasulullah lebih pemalu dari seorang anak dara..

" ok, kamu kumpul team, besok-besok abang datang sama team lawan kamu punya team. Macamana ? saya cuba menarik minat mereka.

" ok bang !! semangat adik-adik Kobuni menerima pelawaan saya


Dalam perjalanan pulang, kami dihidangkan cerita silam cikgu Anuar masuk ke Kg Kobuni menyampaikan tazkirah lebih kurang 4 tahun lalu. Mudah-mudahan kami semua dapat menyambung kerja-kerja dakwah yang telah beliau usahakan hingga ke hari ini Kg Kobuni.


Takbiiiir!!!





Ahad, September 07, 2008

Petisyen PR Pensiangan







Hari ini





Baru tadi, saya ditemani saudara Abdul Hamid pergi ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu untuk mendapatkan jawapan mahkamah bagi Petisyen Pilihanraya Pensiangan.








Tn Hj Ansari dan Penyokong PR



Tuan Hj Ansari, Pengerusi Perhubungan Keadilan Sabah telah mengemukakan petisyen terhadap pilihanraya Pensiangan dan mahkamah telah menerima bantahan tersebut hari ini. Keputusan mahkamah ini akan dirujuk seterusnya kepada Suruhanjaya Pilihanraya untuk menentukan tarikh pilihanraya di Pensiangan yang dijangkakan berlaku selepas hari raya nanti. Syabas dan tahniah Pakatan Rakyat.....sama-samalah kita nantikan.



Kemarin


Peserta Konvensyen Pendakwah Sabah Kali Ke - 3


Ini kali ke - 2 saya menyertai konvensyen Pendakwah yang diadakan 3 tahun lepas. Berbanding tahun lalu, peserta kali ini lebih ramai yang menghimpunkan para da'ie dari seluruh Sabah.


Turut kelihatan bersama dalam konvensenyen ini iaitu sahabat-sahabat dari PLD Keningau, ABIM,Persatuan Siswazah Sabah, JIM dan banyak lagi. Saya sebagai wakil Yayasan AMAL dalam konvensyen kali ini.


Pada hari terakhir, Konvensyen kali ini telah bersepakat menyatakan 12 resolusi yang dinamakan sebagai "Resolusi 7 Ramadhan 1429H" :


1. Menggesa pihak JAKIM mewujudkan program Diploma Dakwah Lapangan melalui Pusat Latihan Dakwah seliaan JAKIM.


2. Menambah baik program pendidikan yang sedia ada di pusat-pusat latihan JAKIM dengan memfokuskan bidang-bidang seperti kemahiran ICT, Kepimpinan, Komunikasi dan seumpamanya.


3. Menggesa pihak JHEAINS mewujudkan Syukbah Remaja Masjid di setiap masjid dan surau di seluruh negeri sabah yang dipimpin oleh golongan muda contohnya seperti penubuhan Kadet Remaja Masjid.


4. Menggesa kerjasama yang lebih kukuh di antara agensi penguatkuasaan dalam menangani gejala penyelewengan Akidah, sosial dan seumpamanya khususnya dikalangan remaja.


5. Menjadikan masjid mesra remaja sesuai dengan pemartabatan masjid sebagai Pusat Kecemerlangan Remaja.


6. Menggesa pihak-pihak yang berkaitan dengan pembangunan remaja memperuntukkan dana khusus kepaa NGO Islam yang menjalankan aktiviti-aktiviti remaja.


7. Menggesa setiap premis tumpuan orang ramai dan taman-taman perumahan mempunyai masjid dan surau yang terletak di lokasi yang strategik.


8. Melaksanakna penganjuran simposium remaja muslim secara tahunan.


9. Memperbanyakkan latihan-latihan bagi memahami aspirasi remaja dan isu-isu yang berkaitan dengan mereka kepada semua pihak.


10. Menggesa pihak sekolah memperhebatkan lagi program pembinaan jati diri remaja Islam di peringkat sekolah.


11. Menyeru pihak-pihak tertentu yang menganjurkan sambutan keramaian supaya menambil kira pengisian yang tidak merosakkan golongan remaja.


12. Memperbanyakkan aktiviti hiburan dan rekreasi yang berunsurkan Islam.



Tahniah kepada JAKIM dan seluruh pegawai yang terlibat...


Free Blogger Templates by Isnaini Dot Com and Real Estate. Powered by Blogger