Isnin, Mei 04, 2009

Tribute Untuk 2 Mantan Ketua Pemuda


Mengenali dua sosok ini, membawa saya membelek-belek semula sisa-sisa memori yang masih segar. Mantan Ketua Pemuda PAS Kawasan Tawau, Cikgu Muhd Nasir Ali dan Cikgu Anuar Ali, mantan Ketua Pemuda PAS Negeri Sabah merupakan dua tokoh kepimpinan yang menjadi icon kebanyakkan anak-anak muda gerakkan dakwah di sebelah Pantai Timur dan Pantai Barat.


Cikgu Anuar (kiri), Cikgu Nasir (kanan)

'Patah tumbuh hilang berganti', itulah pepatah yang agak sinonim apabila bertukar gantinya sesi kepimpinan, dari orang lama kepada orang muda. Orang lama biasanya kaya dengan pengalaman, manakala orang muda, penuh dengan idea segar dan semangat yang membara. Jalinan pengalaman dan idea antara orang lama dan orang muda jika dimanfaatkan sebaiknya sudah tentu mampu membawa kematangan dalam gerakkerja. Begitu sekali kuatnya ikatan, dekatnya kasih sayang antara orang lama dan orang muda seperti perumpamaan, jika tidak kerana bulan, tiadakan laut pasang dan surutnya.


Amatlah rugi, jika barisan kepimpinan anak muda yang mahu menyebarkan dakwah tidak dapat mencedok sedikitpun dari pengalaman orang yang terdahulu merintis jalan dakwah di Sabah ini. Oleh kerana saya hanya sempat melalui zaman 2 tokoh kepimpinan di Sabah ini, tidak bermakna saya tidak melihat kepada tokoh-tokoh dakwah yang lain. Hanya ini saja ruang pada kesempatan yang ada untuk menulis. Saya percaya ramai lagi....


Disebelah pantai Timur sana, siapa tidak kenal dengan Cikgu Nasir. Beliau merupakan 'Mursyidul Am' madrasah Persatuan Putera Puteri Islam Sabah. Insan berjiwa tarbiah ini, cukup tabah mendidik dan membentuk anak-anak muda remaja yang tiada asas kefahaman Islam, dari satu kepada dua kepada tiga, hinggalah lahirnya pemimpin-pemimpin muda di mana-mana kampus, kepimpinan di peringkat kawasan dan peringkat negeri. Inilah yang membuatkan saya kagum terhadap kemampuan beliau, mengasuh dan mendidik anak-anak Sabahan yang tidak pernah kenal jemu.


Tanyalah adik-adik PERPIS. "Siapa icon kepimpinan anda?


..."Cikgu Nasir", jawab mereka


Mengepalai Dewan Pemuda di Kawasan yang menjadikan DUN Merotai pada PRU ke-12
sebagai sasaran semestinya menjadikan beliau seorang yang sangat teliti dalam soal-soal pengurusan. Situasi gerakkerja yang semakin kompleks, sudah tentu, mengikut prosedur dan kekemasan sistem menjadi penekanan di mata beliau.


Disebelah pantai barat, siapa pula yang tidak kenal dengan cikgu Anuar Ali. Darilah petani di lembah kundasang, hingga tokey besar di Kota Kinabalu, sebut saja nama beliau.."siapa tidak kenal cikgu Anuar". Lihatlah peta Sabah yang luas, sebuah negeri yang sama luasnya dengan 13 buah negeri di Semenanjung, tidak ada satupun daerah yang belum dijejakinya kecuali Long Pasia. Boleh dikatakan setiap hujung minggu ada saja trip kembara keluar masuk kampung-kampung di pedalaman samada untuk menyampaikan tazkirah ataupun menyampaikan khidmat masyarakat.


Antara tarikan peribadi yang ada pada beliau iaitu kemampuannya berdiplomasi dengan baik. Ada suatu ketika, orang-orang kampung tidak jemu memanggil beliau datang berceramah, pada masa lain, orang-orang kanan Parti tertentu, suka meminta pandangan daripada beliau. Berhati-hati jika berhadapan dengan beliau, dengan mudah saja hati anda dijinakkan oleh beliau..ha..ha..termasuk saya..


Suasana masyarakat di sebelah Pantai Barat Sabah yang masih kontang dari sudut asas kefahaman Islam menjadi sebab utama method dakwah beliau lebih kearah dakwah dan kebajikan. Pada masa yang sama, ramai dikalangan golongan berpendidikan mula berminat kepada Islam. Peluang inilah yang tidak dilepaskan oleh beliau untuk memanfaatkan dan mengurus semua sumber tenaga manusia di sekeliling untuk bersama-sama menyumbang kepada dakwah Islam. Inilah keunikan yang ada pada Cikgu Anuar, 'Kreatif'.


Berwajah manis dan memudahkan urusan orang lain itulah kebiasaan beliau.

* * *

Kedua-dua insan murabbi ini, ada keistimewaan yang wajar dicontohi. Pengalaman dakwah mereka dari sudut method dan pengurusan adalah permata berharga untuk penggerak-penggerak dakwah memulakan langkah di bumi Sabah dalam era pasca tsunami '@#politik%#'. Satu kelebihan besar andai kita mampu mengasimilasikan karakter dua mantan Ketua Pemuda ini, dalam diri kita dan gerakkerja Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah sesi 2009/2011.

* * *

..Sebuah pengalaman tidak akan bermakna jika kita tidak mampu belajar darinya. Inilah yang membezakan pengalaman seorang anak muda dengan pengalaman orang yang terdahulu 'makan garam', sebuah menu bernama perjuangan. Belajar dari perjuangan bermakna merelakan diri untuk jatuh ke bawah di lembah berduri, terbang tinggi melangit angkasa membawa obor cita-cita perjuangan. Asam garamnya ada pada resah yang kerap menjengah, kekurangan yang dingin menghimpit, pengorbanan yang bertali arus, namun disebaliknya adalah ketenangan yang menyapa lembut, jiwa yang terhampar luas, semangat yang tak kunjung malap, tekad yang kukuh berdiri....


Betapa kuat daya dan usaha, namun sebuah perjalanan insan bernama murabbi hanya secebis yang mampu diungkapkan.


...terima kasih daun keladi, budi tuan kami semat di hati



Isnin, April 27, 2009

Tompinaiku, Bertimbang Taralah


PEMUDA Pakatan Rakyat mencapai keputusan sebulat suara mendesak Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Japlin Akim meletakkan jawatannya setelah didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin UMNO kerana mengamalkan politik wang."Memandangkan beliau telah ditahan reman selama tiga hari dan sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), maka adalah wajar beliau meletakkan jawatan," ujar jurucakap Pemuda Pakatan Rakyat, Abdul Razak Haji Jamil selepas membuat kenyataan akhbar lima perenggan di pejabat guamannya di Asiacity, Kota Kinabalu.


SEPAKAT....Razak (duduk), Teddy (dua dari kiri) dan Salman (kanan sekali) menunjukkan kenyataan akhbar bertulis mereka di pejabat guaman Razak. ( sumber Sabahkini.net)


....Lembab!!!


..tak apa, saya sabar


...Inikah Pemuda?!!


...biarkan saja, saya biarkan seperti lalat pening lalu depan hidung.

...Entah berapa banyak lagi kata-kata 'motivasi' sebegitu yang pernah saya terima. Ada yang pernah datang kepada saya, berhambur peluru 'itu tak kena, ini tak kena'. Andainya peluru tersebut adalah peluru sebenar, maka boleh nampak 1001 kesan tembakan di dinding, lantai dan atap pejabat tempat saya berdiri. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan dengan menyuling semua yang masuk ke dalam telinga saya, menuju ke otak untuk proses kitar semula, sampai ke dasar hati menjadi pesan-pesan yang membangkitkan jiwa.

...Kerana apa?..kerana satu falsafah, "Muhammad Rasulullah s.a.w, bersifat tegas terhadap kaum kuffar, berkasih sayang sesama mukmin"


Ambil dan hayati semangat ini, sebagai ukuran juga sebagai had tatkala tiba di kemuncak perselisihan. Andai tujuan saudaramu masih dijalan yang sama, namun agak gelincir sedikit, keraslah membawanya pulang jika, itulah sahaja pilihan yang ada. Namun begitu, keras engkau terhadapnya, tidaklah sama pula kerasnya engkau seperti memukul musuh-musuhmu. Bertimbang taralah, tika engkau berhadapan musuhmu yang sebenar, sanggupkah engkau memukul tengkuk-tengkuk mereka atau engkau telah siap dengan langkah seribu, sedang saudaramu yang dalam pelukanmu itu sanggup pula engkau bertindak keras!


Alangkah malangnya kita wahai saudara-saudaraku, tengkuk-tengkuk musuh belum pun sempat di capai, saudaramu yang dalam tanggunganmu lebih dahulu rebah lantaran kerasnya engkau terhadapnya. Ingatlah pesan orang-orang tua dalam perjuangan ini, 'berselisisih itu rahmat, tetapi rahmat itu membawa kesatuan'. Dari arah manapun, kesatuan adalah puncaknya yang tertinggi, destinasi setiap perjalanan harapan dan intipati setiap yang terzahir.


Kita semua juga begitu..seharusnya begitu




Rabu, April 22, 2009

Dari Hati ke Hati







Kalau engkau dicintai orang dan mencintai, senangkahlah hatimu! Tandanya hidupmu telah berharga, tandanya engkau telah masuk daftar orang yang terpilih.


Tuhan telah memperlihatkan belaskasihanNya kepadamu lantaran pergaduhan hati sesama makhluk. Dua jiwa di seberang masyrik dan maghrib telah terkongkong dibawa satu perasaan di dalam lindungan Tuan.


Di sanalah waktunya engkau mengetahui rahsia perjalanan matahari di dalam falak, ketika fajarnya dan terbenamnya, tandanya Tuhan telah membisikkan ke telingamu nyanyian alam ini. Lantaran yang demikian dua jiwa berenang di langit khayal, di waktu orang lain terbenam. Keduanya berdiam di dalam kesukaan dan ketenteraman, bersenda gurau di waktu bersungguh-sungguh.


Jika engkau mencinta tetapi cintamu tak terbalas, senangkan jugalah hatimu! Kerana sesungguhnya orang yang mengusir akan jatuh kasihan dan ingin kembali kepada orang yang diusirnya itu setelah dia jauh dari matanya, dia akan cinta, cinta yang lebih tinggi darjatnya daripada cinta lantaran hawa.


Terpencil jauh membawa keuntungan insaf, kebencian meruncingkan cita-cita dan membersihkan perbuatan. Sehingga lantaran itu hati akan bersih, laksana bejana kaca yang penuh berisi air khulud, air kekal yang dianugerahkan Tuhan. Dengan sebab itu, engkau akan beroleh juga kelak tempat merupakan cinta itu, kalau tak ada pada insan, akan ada pada yang lebih kekal daripada insan.


Bersedialah menerima menyuburkan cinta, walaupun bagaimana besarnya tanggunganmu, kerana cinta memberi dan menerima, cinta itu gelisah, tetapi membawa tenteram. Cinta mesti lalu di hadapanmu, sayang engkau tak tahu bila lalunya.


Hendaklah engkau jadi orang besar, yang sanggup memikul cinta yang besar. Kalau tak begitu, engkau akan beroleh cinta yang rendah dan murah, engkau menjadi pencium bumi, engkau akan jatuh ke bawah, tak jadi naik ke dalam benteng yang kuat dan teguh, benteng yang gagah perkasa yang sukar tertempat oleh manusia biasa.


Kerana tugu cita-cita hidup itu berdiri di seberang kekuasaan dan kemelaratan yang diletakkan oleh kerinduan kita sendiri.


Merasa tenteramlah selalu, senangkanlah hatimu atas semua keadaanmu, kerana pintu bahagia dan ketenteraman itu amat banyak tak terbilang kesulitan perjalanan hidup kian minit, kian baru.



Merasa senanglah selalu..



Merasa tenteramlah...



.....Lagi dan lagi




Gubahan dari Petikan : Annisah Mai




Ahad, April 05, 2009

Menuju Medan Muhasabah…




Muktamar PAS Pusat 2009 pada bulan Jun nanti dijangkakan terus hangat membakar perwakilan sejak ia bermula pada Muktamar yang lalu
di Perak.


Lontaran idea ‘unity government’ yang di gagaskan oleh Tuan Guru Presiden PAS Hj Abdul Hadi Awang memberikan satu lagi ‘homework’ kepada para perwakilan yang akan bertandang, memerah pengalaman lantas melonjakkan minda untuk berfikir daerah-daerah baru idea dan pemikiran, tidak sekadar datang lalu tenggelam dalam persoalan titik bengik sesama Pakatan Rakyat.


Tidak hendak meremehkan persoalan-persoalan yang bakal
dikemukakan oleh para perwakilan, namun disaat umat tenggelam punca dengan wajah BN yang semakin terserlah keasliannya, mungkin peluang inilah yang seharusnya disambar oleh gerakan Islam untuk muncul dengan penyelesaian-penyelesaian yang telah wujud sejak 1400 tahun yang lalu. Bergantung kepada kebijaksanaan….sinergi, situasi menang-menang, fiqh aulawiyat, fiqh muwazanat, fiqh semasa, adalah tapak asal kepada setiap lontaran di medan muhasabah nanti.


InsyaAllah, saya juga sudah tidak sabar hendak membelah laut cina selatan, terbang ke medan muhasabah kita semua…


Kita di Sabah

Ketika ini, seperti biasa PAS kawasan ada yang telah selesai mengadakan muktamar masing-masing. Manakala Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah akan bermula pada 1 hingga 3 Mei 2009 bertuan rumahkan PAS Kawasan Kinabatangan. Dari meja panel, pertambahan kerusi perwakilan dijangka dapat merancakkan lagi medan muhasabah dengan perjalanan setahun gerakkerja dakwah-siyasah-tarbiyah di bumi bawah bayu ini.




Moto ‘Perkasakan Pemuda, Teguhkan Pakatan’ masih lagi menjadi wajah bentuk gerakkerja yang di implementasikan pada sesi yang akan datang. Sehinggalah, perwakilan benar-benar telah mencabar idea dan praktikal perlaksanaannya dengan yang setimpal pula, barulah moto tersebut boleh diubahsuai mengikut kehendak dakwah kita.


Pengalaman gerakkerja yang berbeza-beza mengikut wa
qie’ masing-masing akan mewarnai medan muhasabah dengan kepelbagaian sudut pandang. Disebelah pantai timur yang mengunjur dari Tawau ke Beluran, ada suasananya. Kelompok pemikiran dan budaya masyarakat disana telah mengangkat prestasi PAS dengan bertanding di DUN merotai baru-baru ini dan sebelumnya. Sebelah Pantai Barat Sabah pula, realiti masyarakat yang kontang dari sudut asas kefahaman Islam perlu di lihat dari sudut berbeza.


Persoalan besarnya yang perlu diperhalusi dalam perlaksanaa
n itu nanti iaitu….







Apakah yang lebih utama……..Politik atau dakwah?



Apakah realiti sebenar masyarakat...........Politik atau dakwah?


Pertambahan bilangan kawasan dan cawangan merupakan salah satu penanda aras prestasi gerakkerja dakwah. Tanpanya, usah bermimpi hendak mengangkat level perjuangan ke status ‘government in waiting’. Sementara itu, ruang perbezaan yang menjadi rahmat kepada gerakekerja perjuangan Islam tidak seharusnya disimpul mati oleh persoalan…


berapa PAS Kawasan yang berdaftar?.....berapa cawangan PAS yang ditubuh?....


Di Sabah ini, kejayaan kita bermula dari titik yang berbeza-beza…


Saya merasakan telah tiba masanya, kita membina dan memperteguh struktur atau fondasi kepada gerakkerja kita di Sabah. Kadang-kadang kita kagum dan tersilau dengan pujian orang….


“PAS ni biar nampak sikit tapi nampak kuat”…kata seorang ahli UMNO.


“Saya percaya sama PAS, tidak lompat-lompat macam UMNO dengan PKR“..kata seorang berbangsa cina.


Inilah imej kita dimata orang. Nampak kuat dan perkasa diluar. Itu diluar, di dalam?...selain pembinaan imej, pembinaan struktur merangkumi data dan pemfailan mesti dimulai dari sekarang. Pemuda bukan sahaja kelihatan perkasa, tetapi mesti benar-benar perkasa...bukan dengan tongkat Ali....Akhirnya, pembinaan struktur dalaman PAS di Sabah membawa kita kepada persoalan..


...apakah tanggungjawab kita kepada Pekerja Sepenuh Masa ( Al Murabbitun )?



Dari seorang ahli yang dimatangkan oleh gerakkerja di kawasan, kepada ahli golongan pemikir intelektual di menara gading, hinggalah kepada penyokong yang sentiasa setia kepada perjuangan Islam, marilah sama-sama kita kerahkan segenap idea dan pengalaman kita di satu medan muhasabah untuk kita menilai semula persoalan besar keberadaan kita disini…iaitu persoalan iman dan takwa kita kepada –Nya.



Selamat datang dan selamat bermuktamar..




….Aku setia menanti




Isnin, Mac 23, 2009

...Cinta Orang Kelantan

Jambori Amal Negeri Sabah pun berlalu sudah. Kali ini, Kg Binawou Tengah menjadi perkampungan pilihan oleh lebih kurang 90 orang peserta dari pelusuk Negeri Sabah. Daerah sook yang disitu terletaknya Kg Binawou ini diduduki majoritinya oleh suku kaum Dusun yang berasal dari Daerah Ranau. Ketika kenderaan '4 wheel' sampai di simpang antara Daerah Sook dan Daerah Tenom, Tawau hanya lebih kurang 300 Km lagi dihadapan.

"Lain kalilah ikut jalan ini kalau nak balik Tawau,"..hati saya berdoa. Hanya mengambil masa selama 6 jam sahaja. Terujaaaa....


Di Kejauhan Binawou


Selepas lebih kurang 5 jam perjalanan dari Kota Kinabalu,sekali lagi saya dapat berpijak di bumi Sook. Daerah Sook dan sekitarnya adalah bumi yang saya kagumi kerana memikirkan jauhnya suasana disini dari jangkauan modenisasi yang pastinya akan mengundang kotoran sampah akhlak yang mencemarkan pemandangan seperti dikebanyakkan bandar-bandar dewasa kini.

Tentang daerah ini, ia telah lama diterokai oleh suku Dusun yang dikurniakan kudrat oleh Allah s.w.t, dengan perwatakan yang sopan santun itu mereka gagah membelah bukit bukau hutan belantara hingga wujud beberapa perkampungan disekitar daerah Sook. Mereka membuka tanah yang terbentang luas ini, menebas hutan belantara tanpa sebarang jentolak, sungguh saya kagum.



Di Kg Binawou ini, orang kampung masih belum mendapat bekalan elektrik dan hanya menggunakan enjin untuk menerangi lebih kurang 35 buah rumah dan masjid. Khabarnya gara-gara kes Pilihanraya Pensiangan yang dibantah di mahkamah tempoh hari, projek bekalan elektrik ke kampung ini dihentikan sementara waktu. Dan mangsanya ialah orang kampung. Kasihan orang kampung...tidak cukup, tanah yang diterokai oleh nenek moyang mereka ini masih belum mendapat geran oleh pihak yang ada niat 'umpan politik' agar orang kampung jadi seperti lembu dicucuk hidung.







Dalam keadaan begitupun, saya terkesima lagi melihat beberapa orang adik-adik sekolah rendah yang begitu bangga menggayakan aksi tarian shuffle yang agak terkenal sekarang ini. Sekejap saja diacah, adik-adik ini serentak menari shuffle didepan kami.


aksi ber 'shuffle'


Ketika ditanya, " adik-adik ni shuffle tau, cuba kira berapa 12 darab 12?

...ndak tau...jawab adik-adik ini.

"Ah, alangkah malangnya adik-adiku ini. Kalau kampung ini hanya disebelah Kg Likas, ada abang Nadir yang akan tolong tengok-tengokkan kamu. Tapi di Kg Binawou ini..."

Apa pula kata mereka yang bergelar da'ie, sedang semua ini berlaku didepan mata mereka?!


...mungkin anda telah melakukan sesuatu, mungkin juga sebaliknya...



Bumi Antanum


Tugu Antanum


Selain Paduka Mat Salleh, Antanum merupakan barisan perwira yang lahir di bumi Tenom bangkit mempertahankan bangsanya dari penjajahan. Beliau dan beberapa lagi rakan-rakannya yang setia terkorban ketika bertempur dengan askar British lebih kurang pada abad ke-18. Dan kini, bumi Antanum yang dilimpahi cahaya hidayah membawa generasi baru suku Murut melewati garisan masa Tsunami Politik.


Jika apa yang kita perjuangkan dalam sepak terajang pasca Tsunami Politik ini adalah semata-mata untuk meletakkan kalimah tauhid di tempat terpuncak sekali, maka dengarlah suara hati anak-anak generasi tenom kepada seorang ustaz yang baru berkelana di bumi Tenom ini..


"Ustaz lama sudah kami tunggu orang mau ajar anak-anak kami sembahyang, ajar mengaji..bila lagi ustaz mau ajar kami disini"


..sekali lagi saya bimbang, pendakyah lebih dahulu menghulurkan empati daripada pendakwah.


Cinta Orang Kelantan


Wajah-wajah generasi harapan


Saya, Cikgu Anuar dan Ustaz Jamzari meneruskan perjalanan pula ke Tambunan. Lokasi dimana tugu Paduka Mat Salleh ditempatkan.

Tiba di Masjid Pekan, kami disambut mesra oleh wajah-wajah bermata sepet dan berkulit cerah. Jika sekali imbas, anda tentu menyangka mereka ini dari kaum cina. Tidak, sebenarnya suku Dusun memang mirip-mirip kaum cina. Kalau nak tahu bezanya, nanti tanya saya ya....

Cukup mencuit hati adik-adik disini. Tiba-tiba saja..

"Abang, abang orang kelantan bah kan?"...celah seorang adik.

"Tidaklah, abang orang Sabah bah", saya sengaja menambahkan kekonfiusan mereka. Makin tidak percaya adik-adik ini. berkerut-kerut dahi mereka..ha..ha..seronok pula mengenakan adik-adik ni.

Mungkin ada benarnya apa yang dilihat oleh adik-adik ni, sebab saya banyak belajar dari dua orang sahabat saya yang berdarah kelantan, saudara Ruslan dan saudara KY. Merekalah guru saya. Saya dibesarkan oleh cinta orang kelantan, ustaz saya, warden saya, guru tarannum saya, jurulatih bola sepak saya, naqib saya semuanya orang kelantan....cuma bakal isteri saja yang belum masuk dalam list...kui...kui


Bukan cintanya Laila Majnun


Siapa sangka cinta Laila, hingga dinding dan lorong-lorong di setiap jalan menuju istana wanita sanjungannnya itu pun bisa menjadikan rindunya reda seketika. Namun, sedalam rasa cinta Laila hingga digelar 'Laila Majnun', ia tidak lebih dari dua batang tubuh manusia yang hilang pertimbangan yang rasional antara realiti dan fantasi. Akhirnya cinta Laila, cinta membawa rebah....


.....Cinta yang tewas di penghujung yang tidak pasti.







Isnin, Februari 23, 2009

Langit Gaza

Langit Gaza yang terukir kesempurnaan ciptaan-Nya, terus memaut mata menikmati keindahannya dari satu ufuk ke ufuk lain hinggalah ia beransur-ansur hilang apabila pandangan beralih turun ke tanahnya yang kering ketandusan, dimana harapan dan kenangan dikambus bersama puing-puing kemusnahan. Antara tangisan si anak kecil dan ribuan peluru yang tidak mengenal mangsa, masihkah ada ruang-ruang untuk menyatakan impian dan harapan, bahawa kita masih berkongsi kehidupan yang sama?


...mungkin tidak bagi yahudi laknatullah...


Menyelusuri semula lorong-lorong sepi di Gaza, dimana anak-anak kecil berlari riang bertukar tangisan yang memilukan, tidak tahu mengapa dalam usia yang masih kecil mereka sudah tidak nampak lagi dimana masa depan, yang tinggal hanyalah beberapa detik tawa riang sebelum ia dirampas pergi bersama tangisan yang mengiringi.


Namun, ia bukanlah pemergian yang sia-sia...




Matrikulasi Labuan


Berada di Gaza sebelum dan semasa perang meletus, Timb Presiden Yayasan AMAL Malaysia En Jamuliddin Elias menceritakan semula pengalaman beliau kepada pelajar-pelajar Matrikulasi Labuan sepanjang berada di sana.

"saya sangat sedih, kebanyakkan yang jadi mangsa ialah kanak-kanak yang tidak berdosa. apa salah dan dosa mereka? sambil menunjukkan slaid di depan ratusan pelajar Matrikulasi





"Gambar diatas ni merupakan kanak-kanak yang menjadi mangsa bom pisau yang ditembak oleh tentera yahudi. Bom pisau merupakan salah satu bom kimia yang diharamkan penggunaannya sejak tahun 2002 lagi". Sambung Abg Jamal


Dewan Matrikulasi senyap, semua sedang tertumpu kepada slaid didepan mata. Pelbagai riak emosi bermain di wajah hadirin pada malam itu. Ada yang terlopong, ada yang sayu dan ada juga yang tunduk tidak sanggup menatap slaid. Mujur abg Jamal menyelitkan sedikit lawak, kalau tidak mungkin malam itu jadi malam 'muhasabah diri' agaknya.


"satu lagi bom kimia yang digunakan oleh tentera Israel iaitu bom fosforus putih. Ini juga merupakan bom kimia yang dilarang penggunaannya oleh pertubuhan dunia". Hadirin dalam dewan sekali lagi dibawa ke slaid lain, seolah-olah mereka betul-betul sedang berada di Gaza.


Tembakan Bom Fosforus Putih


".....dan inilah kesannya. kebanyakkan yang menjadi mangsa iaitu kanak-kanak yang tidak berdosa tuan-tuan sekalian". Abg Jamal merendahkan nada suaranya. terdengar sayup-sayup suara istighfar dari penonton yang hadir.


" Tuan-tuan, bom fosforus putih kalau terkena pada badan, dia masuk dibawah kulit dan mula mereput. Ia mudah dibawa oleh angin, kalau terkena pada mata, buta tuan-tuan"..sambil menunjukkan beberapa slaid lagi mangsa-mangsa bom fosforus putih.




" yang sedihnya tuan-tuan, dalam keadaan ramai orang awam yang terkorban dan perlukan rawatan, kerajaan Mesir pula yang tidak membenarkan bantuan ubat-ubatan dan makanan masuk ke dalam sempadan. Kami terpaksa berkampung diluar sempadan berminggu-minggu untuk memujuk para petugas membenarkan kami masuk"..Sekali lagi penoton di kesalkan melihat beberapa slaid yang terpampang.


Kelihatan berpuluh-puluh trak bantuan makanan ke Gaza tersadai ditepi jalan sempadan Mesir-Rafah, ada yang sudah basi kerana terlalu lama disimpan. Sementara itu, polisi petugas di sempadan pula berubah-ubah. Sekejap boleh masuk sekejap tidak.


Abg Jamal menyambung lagi...


"lepas 4 hari berkampung di sempadan tidak dibenarkan masuk, saya tak tahan sabar lagi. Saya mengomel dengan rakan doktor perubatan disebelah saya" suara abg Jamal ditekan sedikit


"Sabar Pak Jamal, pak Jamal baru 4 hari, saya sudah 2 minggu duduk disini"..balas Dr perubatan dari Indonesia itu.


* * *

Menceritakan pengalaman sendiri di Gaza, penonton di Dewan Matrikulasi Labuan pada malam itu seakan tidak puas mendengar khabar berita yang tidak akan dapat disaksikan di media arus perdana. Malam itu, semua yang datang seakan dikejutkan dari lamunan. Malam itu adalah malam untuk ummat Islam Gaza di Labuan. Di iringi keluar oleh Pengarah Matrikulasi Labuan, abg Jamal diberikan tepukan gemuruh oleh penonton yang hadir. Ada juga terselit suara bertakbir di kiri kanan menuju ke pintu keluar dewan. Malam itu malam untuk Gaza....


Saya juga mengucapkan syukur yang panjang. Tentang Gaza pada malam itu, mengingatkan semula tentang cinta dan ukhwah, azam dan tekad yang kuat, perjuangan yang tidak akan kalah, cintakan kebenaran, semuanya itu mengalir menuju kearah tujuan yang satu iaitu redha Allah.


Sebelum berangkat pulang...Abg Jamal ( songkok hitam )



saya melangkah keluar dari dewan, mata segera berlari ke langit sambil bermohon, moga langit Gaza kembali seperti langit kita semua.

Ahad, Februari 08, 2009

Perak ke Pensiangan





di Private Dinner & Dialogue



DSAI ketika makan malam bersama beliau menyindir, entah siapa disindirnya. Mungkin saya juga agaknya terkena sindiran tersebut.


Perlu kita semua akur bahawa rentak ke sukuan yang masih kuat dialunkan oleh kalangan Pakatan Rakyat di Sabah, tidak akan membawa arah perjuangan melonjak ke paras yang lebih universal sifatnya. ' Change a must' merupakan intipati yang akan menggerakkan perubahan di sabah ini seperti moto makan malam tertutup bersama DSAI, sangat jelas ia bukanlah kesudahan kepada sebuah lompatan si katak lompat, bukan juga kesukuan melulu atau yang lebih merbahaya dari itu...agenda 'kristianiasasi'.




Perak Satu Penilaian


Pastinya, ketika ini semua tertumpu kepada pergolakan yang berlaku di Perak dimana satu lagi aksi jijik yang dilakukan oleh watak-watak yang tidak asing lagi dalam tajuk drama yang sama "lompat si katak lompat". Dalam keadaan yang sangat kritikal sekarang ini, siapa mencatur strategi terpantas, dialah yang akan merangkul pingat. Tapi bukan dengan cara membelakangi 'nilai', bukan di atas jalan yang terang - terangan menumpukkan satu kejahatan diatas kejahatan yang lain.

Ketika isu ini disentuh, ia akan membawa kita menyelak dari satu muka surat ke muka surat yang lain, menyelam dari permukaan ke dasar untuk mencari sebuah akar permasalahan yang menjadi sebab musabab. Jika sebelum ini, kita terpana dengan laungan yang indah-indah segalanya untuk rakyat dan keadilan semua, kini saatnya untuk menilai semula mengapa segalanya indah khabar dari rupa. Jelas di depan mata kita dalam situasi di Perak hari ini, bagaimana makna keadilan yang didokong dan difahami oleh kita semua tidak mampu membersihkan 'cara dan matlamat' untuk mencapai keadilan yang dijanjikan.

Jika 'cara dan matlamat' itupun sudah bermasalah, apakah terma keadilan itu sendiri yang mesti dipertikaikan juga? Bukankankah terma keadilan tersebut memang boleh ditafsir dari pelbagai sudut?

Jadi, keadilan yang ini tafsiran siapa?

..manusia atau Tuhan?



Perak ke Pensiangan

Belum lagi bahang pergolakan di Perak berakhir, rakyat negara ini terutamanya di Sabah akan bertumpu pula di Pensiangan. Jika hakim tidak berputar 360 darjah, Pensiangan bakal menjadi pentas seterusnya drama di Perak berterusan atau tidak. Apa yang tidak mustahil jika 'ada duit semua boleh jadi'....


Pensiangan juga akan menjadi titik awal Pakatan Rakyat di Sabah memperlihatkan kesungguhan dan komitmen meraih perubahan untuk rakyat Sabah. PAS dalam hal ini telahpun memberikan satu muqaddimah kerjasama yang baik dihulur kepada teman teman pakatan yang lain. Jika sebelum ini, dalam kebanyakkan hal pendokong PAS Sabah banyak 'berpencak' sesama sendiri, mari kita alihkan kepintaran dan kemahiran pencak tarbiah, dakwah dan siasah kita dalam realiti dan gelanggangnya yang sebenar. Kalau menjadi teraju belum mampu, jadi ekor yang belajar mesti dimulakan dari sekarang.



Paradigma Tauhid


Gambar Tuan Guru, apa maksudnya?


Secara mudahnya, semua ibadah tidak akan terlepas dari Ubudiyah kepada Allah s.w.t. Sejak bangun dari tidur hinggalah membangun sebuah negara paradigma inilah yang mesti diterjemahkan dalam kehidupan manusia kepada bentuk-bentuk struktur yang dapat diamalkan bersesuaian matlamat Ubudiyah itu tadi. Struktur tanpa wasilah yang sesuai akan manjadi fantasi semata-mata, sementara wasilah tersebut tidak tenggelam dalam realiti semasa hingga kabur untuk mencapai matlamat Ubudiyah.


Jika sebelum ini saya ada menyentuh buku tausug karangan Sdr Asri Moro, kali ini saya berminat menyentuh hasil penulisan anak Sabahan Sdr Mutalib MD.


Tausug dari sejak mula lagi menceritakan secara jelas bagaimana akhirnya Islam tetap menjadi ruh dalam setiap perkembangan suku-suku di Sabah hinggalah jihad menjadi puncak kepada tingginya cita-cita Islam di kepualaun borneo satu masa dahulu. Pasca pemerintahan penjajah yang membawa paradigma dan struktur sistem yang berbeza hingga kini di Sabah, kita boleh menilai samada Islam dan strukturnya kian terpinggir atau tidak. Yang menentukan bukan kuantiti tetapi kualiti umat Islam.


Mutalib MD berjaya menggambarkan realiti pasca penjajahan yang menelurkan pelbagai istilah yang menjelma menjadi insititusi semasa yang kabur untuk mencapai maksud Ubudiyah. Dari sudut lain, paradigma kesan-kesan penjajahan berjaya menghubungkan antara wasilah dan realiti semasa dengan terinstitusinya 'Politik Kesukuan' yang akhirnya secara tanpa disedari menghanyutkan umat Islam jauh dari wasilah sebenar untuk mencapai maksud Ubudiyah kepada Allah s.w.t..'IC palsu' merupakan agenda yang jelas tercapai hasil daripada politik kesukuan yang berjaya menghubungkan antara realiti semasa dan wasilahnya.


Maka cabaran utama pendokong Islam di Sabah ini adalah menfokus kepada meletakkan wasilah ataupun kaedah yang bertepatan dengan realiti masalah umat Islam di sabah yang menjadi rujukan yang jelas agar tercapai maksud paradigma tauhid. Disinilah kekosongan yang perlu diisi, setelah sekian lama paradigma pasca penajajahan sudah lama berinstitusi.



Selepas Perak saya kira pensiangan salah satu pilihan dimana kita seharusnya bermula....