Isnin, Mac 17, 2008

Samb..Mengisi Kemenangan



Lewat PRU ke - 12 kali ini, benar-benar satu tsunami politik yang melanda negara ini. Kejutan yang tak diduga oleh desas desus penganalisis politik semasa. Kemenangan di Kelantan itu rupanya disambut penuh bersemangat oleh Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak hasil kerjasama regu BA

Detik yang mendebarkan sekali, iaitu sewaktu pengumuman keputusan pada hari pengundian pada 8 haribulan. Sebaik saja pihak pembangkang menang secara simple majoriti di Kelantan, ana terus dihubungi sahabat-sahabat dari sana

" Alhamdulillah, Kita dapat perintah Kelantan sekali lagi...takbir"

begitu bunyi mesej yang ana terima


Alhamdulillah..kemenangan yang menjadi penawar setelah hanya tinggal 1 kerusi untuk Islam dikuburkan, meresahkan pencinta-pencinta Islam. Itulah kemenangan, itulah rahmat dari Tuhan untuk diambil pengajaran.


Hukum Tuhan

Berjalanlah di bumi Tuhan ini dan perhatikanlah dengan mata hati, berapa banyak bangsa yang ditenggelamkan Allah swt dalam lipatan bumi, tiupan badai, rekahan bumi dan ditelan air laut kerana sombong. Lupa dengan amanah kepimpinan yang diberikan. Semua di catat oleh sejarah. Apa yang tinggal ? hanya bekasnya sahaja

Bahkan sejarah itu terus berulang, dan peringatan Allah akan tetap menimpa bersama keras hukumnya. Bukankah sifir ini begitu mudah sekali, asal ingkar saja hukuman jawabnya. Asal derhaka seksa balasannya. Mudahnya, sehingga itu manusia mudah lupa.

Ribut Grek baru saja, Tsunami pun begitu. Jauhnya pun bukan di negara Mat Salleh nun jauh di sana. Cuma disebelah saja negara jiran Indonesia. Sedikit tempiasnya di Utara Semenanjung, namun peringatan itu hanya seperti lalat yang lalu didepan hidung.

Setelah Allah mengurniakan amanah kepimpinan, diangkatnya tinggi kedudukan menjadi mulia, kemudian dijatuhkannya dari tempat yang tinggi itu, menjadi sehina-hinanya. Barulah ia Firaun mengaku dirinya hamba setelah taubatnya tidak diterima lagi. Kufurlah ia.Nerakalah tempatnya.

Al quran begitu jelas tentang amanah kepimpinan ini sebagai satu peringatan


Mengisi Kemenangan

Sekalipun kemenangan pembangkang di lima buah negeri di semenanjung, ia juga bererti kemenangan kepada barisan pembangkang di Sabah ini, sekalipun kalah. Ia adalah satu motivasi untuk terus bekerja memburu kemenangan

Ramai bersetuju kemenangan BA kerana faktor pihak BN yang gagal membela nasib rakyat dengan bebanan seperti harga minyak dan harga barang yang menatijahkan penolakan secara senyap oleh rakyat. Selain itu, lonjakan baru dan segar dalam idea pencinta-pencinta Islam merentasi benteng kepartian sekalipun prinsip terus dipegang.

Sebahagian kita sedar akan hal ini. Di Sabah umpamanya, lonjakan ini perlu dibaca dengan teliti agar kaedah dan pendekatan kita sentiasa relevan dengan suasana setempat dan kekuatan lawan. Hal ini memerlukan kita memahami dengan jelas antara prinsip dan kaedah.

Pengisian yang bagaimana untuk kemenangan kali ini?

"terus bekerja bersungguh - sungguh, perbaiki segala kelemahan"...kata seorang sahabat


iya, persoalan ini ada benarnya. Namun ana masih melihat persoalan tersebut masih diperingkat cabang. Mungkin akar masalahnya disekitar persoalan PERSEPSI dan SISTEM

Kedua-dua persoalan ini berkait langsung dengan bagaimana persepsi atau tanggapan penggerak Islam berhadapan dengan dasar sekularis dan pada masa yang sama prinsip Islam terus terpelihara. Manakala sistem pula adalah kerangka gerak kerja yang tersusun untuk mencapai sesuatu idea atau persepsi.

Mungkin persoalan berikut menjelaskan dengan mudah

Persepakatan pencinta - pencinta Islam dengan dasar yang sekularis seperti DAP, Persepsi atau sistem ?..persepsi

HAMAS telah mengubah pendekatannya dengan terlibat sepenuhnya dalam politik, persepsi atau sistem ?..persepsi

Pendokumentasian, pemfailan, pengumpulan data tentang gerak kerja, persepsi atau sistem ?..sistem

Mengubah persepsi tidaklah semudah yang disangkakan. Ia memerlukan kefahaman yang baik dalam soal prinsip dan kaedah dalam Harakah Islamiah, pada masa yang sama menguasai dasar-dasar ilmu sosial. Ia juga hasil komunikasi minda ilmu dengan suasana persekitaran.

Maka fokus kita untuk kemenangan kali ini iaitu pemugaran semula terhadap persepsi kita terhadap suasana dan ruang dakwah yang baru. Pencinta pencinta Islam telah melakukannya diperingkat nasional dan antarabangsa.

Mungkin kita patut melihat semula kader-kader yang kita lahirkan. Adakah selama ini kita hanya melahirkan kader-kader yang hanya tahu tentang sistem. Cukupkah sekadar dia mengikuti semua sistem tarbiah dan cukup sekadar itu. Dari satu sudut, pakar sistem malah memperkukuhkan lagi gerak kerja yang tidak mampu keluar dari persepsi yang jumud. Jika pencinta-pencinta Islam mampu merentasi halangan dasar-dasar kepartian dalam PRU yang ke-12 ini, mengapa tidak tembok kampus ? tembok kesukuan ? tembok kedaerahan ?

Untuk pemugaran semula, maka kita harus kembali juga kepada sistem. Sistem yang merujuk kepada persepsi yang baru dan segar terhadap suasana dakwah. Kembali kepada sistem usrah. Sistem yang mampu melahirkan kader-kader yang punya idea. Bukan hamba sistem.Bukan pula idealis yang tidak mampu mencipta sistem. Kedua-duanya perlu seimbang.


Harga sebuah cinta

Ana sempat juga membantu sahabat-sahabat di Tawau walaupun sekejap saja. Ana terpaksa bergegas pulang ke kampung untuk mengundi di sekolah lama. Sekolah masa ana kecil lagi dari darjah 1 hingga darjah 6.

Pagi Isnin, ana sudah sedia bertolak balik. Namun keghairahan itu, berhenti sejenak. Terasa ada yang tak kena pada wajah emak. Matanya yang berkaca cuba disembunyikan dengan mengemas meja makan di depannya.

Perlahan ana menyentuh kasih bahunya. Emak lantas berpaling, memeluk erat melepaskan empangan air matanya yang di tahan-tahan sejak tadi. Tidak sepatah pun terungkap, tapi ana begitu memahami maksud seorang ibu. Panggilan kepada seorang anak untuk menunaikan tanggunggjawabnya.

Bagaimana harus ana menjelaskan ? bahawa tuntutan perjuangan ini tidak sesekali melupakannya.

Ah..ana bertolak balik dengan ingatan pada kedua-dua wajah yang semakin lanjut di makan usia. Titisan air mata dan lipatan kulit yang semakin dimamah usia semuanya ana simpan kemas di sebalik sebuah senyuman.


Senyuman untuk satu cinta..


Cinta untuk satu kemenangan



Salam Maulidur Rasul







Free Blogger Templates by Isnaini Dot Com and Real Estate. Powered by Blogger