Ahad, November 30, 2008

Belajar Untuk Suka




Begini rupanya...


Kebiasaan kita, berucap di depan audiens yang ramai bilangannya. Kadang-kadang sampai mencecah beratus orang pendengar. Semuanya terpaku memasang telinga mendengar butir kata-kata yang dilafazkan oleh penceramah. Hal itu kita sedia maklum.


Bagaimana pula, kalau secara tiba-tiba audiens yang mendengar apa yang hendak kita sampaikan cuma seorang diri
terpaku didepan kita walaupun kadang-kadang nampak kabur dengan apa yang hendak kita sampaikan.


Tambah lagi, lokasinya di kampung-kampung yang masih belum sempurna fasilitinya. Apa perasaan anda ketika itu?..Jadualnya pula sudah di tetapkan..habislah


'cukuplah minggu ini aku bagi pengisian disini'..mungkin itu antara kata-kata yang terlintas di hati kita.


Masanya akan tiba, kuantiti dan kualiti sasaran dakwah kita tidak selamanya tersedia untuk kita canaikan sesuka hati kita. Ada kalanya, kita harus bersedia menerima seorang mad'u yang kena dicuit dari segenap arah. Mungkin ada yang mesti di selam ke lubuk hati. Adapun kebanyakkan hal seperti diatas seringkali tidak anda gemari keadaannya. Jadi...


Belajarlah suka apa yang kita tidak suka.




Usrah Kobuni


Selepas beberapa kali keluar masuk kampung, akhirnya sahabat yang setia menemani saya berjaya membentuk ahli usrahnya, iaitu dua orang anak-anak sekolah rendah. Hah, kalau di kampus dulu, tajuk usrahnya bukan main tinggi lagi, setinggi menara gading. Kali ini, tajuk usrahnya 'mari belajar Iqra'.


Saya pula, tazkirah selepas maghrib selalunya agak tidak mengecewakan kerana bukan sahaja ada seorang audiens yang setia mendengar tetapi oleh semua kipas-kipas dan dinding-dinding surau yang tetap tidak berganjak dari kedudukan mereka. Dengan selambanya membayangkan didepan saya ada 100 orang sedang terpukau mendengar apa yang sedang saya sampaikan. wow..


Saya pernah membaca buku tentang sejarah kehidupan Dr Burhanudin Al Helmy. Sudahlah sound system angkat sendiri, sampai ke tempat ceramah cuma ada pokok getah sahaja terpacak, seorang manusia pun tidak kelihatan. Tetapi beliau terus menyampaikan ceramah walaupun hanya didengar oleh pokok getah saja. Agaknya kalau kita, taubatlah tak nak datang lagi.



Pesan kekasih junjungan mulia kita



"Sampaikanlah dariku walaupun dengan satu ayat "




Selasa, November 18, 2008

Manusia dan Kemanusiaan



Manusia itu sendiri bermaksud 'lupa'.


Banyak hal yang kita boleh huraikan yang ada kaitannya dengan lupanya manusia kepada penciptanya. Betapa manusia selalu lupa tentang dirinya yang lemah lagi hina disisi tuhannya. Manusia dan lain-lain bentuk kehidupan hanya sebaris ciptaan dari ciptaanNYa yang tidak terhitung banyaknya. Lantas, apakah yang memaknakan manusia sehingga ia menjadikannya 'insan' ?


Tuhan dengan sifat ke-Tuhananya mengurniakan manusia 'kemanusiaan' agar darjatnya lebih tinggi dan berbeza dari nilai kebinatangan.


Ketika si fakir berputus harapan, kita tampil menghulurkan bantuan..


Ketika si musafir sesat di perjalanan, kita tampil memberikan panduan..


ketika kehidupan musnah menjadi puing-puing bebatuan, kita hadir menghulurkan sumbangan..



Sebagai bukti sifat ketuhan-Nya, 'kemanusiaan' menjadi penawar kepada racun yang berbisa, menjadikan siang kepada malam yang gelap gelita, menghadiahkan bahagia kepada derita yang berpanjangan, menghiburkan hati yang sekian lama dilanda duka dan memberikan petunjuk ketika meraba-raba mencari jalan pulang.



Pudarnya Kemanusiaan



Sdr Yusri kembali ceria walaupun patah kaki


Sepanjang perjalanan menuju Hospital Likas, masih terngiang-ngiang di telinga saya butir-butir bahasa yang memberi erti sebuah nilai yang kian luntur di hakis arus kemodenan yang menggila.

" Nah ambil RM 50 ni pigi Hospital "..Ali menceritakan semula gelagat seorang lelaki yang terlibat kemalangan dengan Sdr Yusri.


"kalau iapun, hantarlah budak tu pigi Hospital. Ini tidak, sudah dia tau patah kaki, ndak bole bejalan, di baginya saja RM50 dengan budak tu suruh pigi sendiri di Hospital. Gila betul"..Ali terus melepaskan ketidapuasannya kepada saya yang baru tiba di tempat kejadian.


Ali lah orang yang membentak marah kepada lelaki
cina tersebut agar sdr Yusri dihantar ke Hospital Likas Kota Kinabalu.



* * *


Wah, murahnya harga sepasang kaki jika hanya dengan RM 50, selesai semua masalah. Gilakah dunia ini jika memberi erti kepada 'kemanusiaan' hanya terletak diantara untung dan rugi sedangkan dengan hanya 5 minit sahaja rasa bertanggungjawab bisa membina ikatan berpanjangan, melerai separuh kesakitan yang menimpa.


Apakah harga untuk sebuah senyuman yang menguntum semula? Apakah harga untuk hati yang sembuh seketika?....Peliknya jika semua itu mahu diletakkan RM sekian-sekian


Agaknya, kita semua ikut sama menjadi gila seperti dunia yang gila ini.





" Kasihilah semua yang ada dibumi ini, nescaya yang dilangit juga akan mengasihimu".







Sabtu, November 01, 2008

Pemikiran HAMKA








Baru hari ini saya dapat menghabiskan buku 'Pemikiran HAMKA' suntingan Prof Sidek Baba. Lama juga saya terputus bacaan buku-buku karangan ulama Nusantara ini. Prof HAMKA antara barisan ulama yang saya minati kerana keunikannya sehingga ia diberi gelaran 'Singa Podium'.



kedinamikan Prof HAMKA semasa hayatnya telah menelurkan idea-idea Islah di Nusantara merentas pelbagai disiplin ilmu yang diterjemahkan dalam beberapa buku-bukunya seperti 'Merantau ke Deli', 'Tenggelamnya Kapal Van Derjick', 'Tasauf Moden' dan banyak lagi. Melalui tafsir Al Azharnya, beliau dalam banyak hal telah menjadikan alam melayu sebagai unsur yang menonjol dalam pentafsiran Al Quran. Disamping itu, tulisan yang diterjemhakannnya hasil daripada realiti hempas pulas sebenar perjuangan yang menjadikan tulisannya sentiasa lekat dan hidup seolah-seolah beliau sedang berbicara didepan anda.




Saya menghabiskan petang-petang sebegini, mengadu kasih pada bisikan-bisikan hikmat pena perjuangan HAMKA...





Free Blogger Templates by Isnaini Dot Com and Real Estate. Powered by Blogger