Khamis, Oktober 11, 2007

Perutusan Aidilfitri




TN. HJ MUHAMMAD ABDULLAH
PESURUHJAYA PAS SABAH.





Saya dan saf kepimpinan PAS Sabah ingin mengucapkan hari raya maaf zahir dan batin kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat, moga-moga semuanya berbahagia bersama anak-anak dan ahli keluarga yang tercinta.
Kita sebagai umat Islam sewajarnya sentiasa bersyukur kepada Ilahi atas kurnia dan nikmat-Nya selama ini yang telah memberi kepada kita kekuatan jasad dan jiwa untuk menyempurnakan ketaatan dan ibadah dalam bulan Ramadan. Hari Raya atau hari kemenangan yang kita raikan bersama amat wajar dinilai dengan neraca iman dan penuh kejujuran. Adakah kita telah benar-benar menang? Adakah kita telah benar-benar kembali kepada fitrah asal sebagai hamba Allah? Atau kita masih lagi diulit atau dijajah oleh nafsu, syaitan, serta kebendaan dunia yang dimegahkan.
Sempena syawal ini, marilah kita membuka minda dengan penuh keimanan untuk melihat roh amalan Islam bukan hanya bersinar tatkala bulan Ramadan sahaja. Pengamalan amal Islami wajib dilakukan sepanjang usia dan hayat kita. Gerak kerjanya perlu dilakukan secara bersama-sama bagi menobatkannya di bumi ini dalam semua sudut dan lapangan kehidupan. Marilah bersama dengan perjuangan kami bagi membawa suara Islam agar bergema di DUN Sabah. Amin Ya Allah.
Allahhu Akhbar...Allahhu Akhbar...Allahhu Akhbar...


Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Dan Batin








EN. MOHAMAD HUSAIN
Yang Dipertua PAS Kawasan Tawau




Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri yang mulia, diucapkan khusus kepada semua umat Islam yang dikasihi sekalian. Pada lebaran yang mulia ini, saya mewakili seluruh barisan kepimpinan PAS Kawasan Tawau ingin mengambil peluang ini untuk menghulurkan salam persaudaraan, memohon seribu kemaafan atas apa jua kekurangan pada pihak kami. Pada lebaran ini juga, saya memohon kepada Allah s.w.t agar kita semua sentiasa sihat walafiat bersama ahli keluarga yang tercinta, bergembira menyambut syawal yang mulia. Pada saat kita bergembira menyambut lebaran ini, jangan pula kita melupakan saudara seIslam kita di bumi Iraq, Palestin, Chechnya, Bosnia, Afghanistan, Darfur, Pattani Thailand dan Mindanao yang turut dihimpit derita dan sengsara. Pada saat kita bergembira berpakaian serba baru, tidak pula melupakan kita kepada si fakir miskin yang tidak ada tempat berteduh.Pada saat kita bergembira menyambut Syawal, jangan sampai kita terlupa, nasib umat Islam di negara yang kita cintai ini. Bagaimana dengan angka murtad, rasuah dan penyelewengan, rogol, pembunuhan, agihan zakat yang tidak telus serta masalah sosial yang semakin hari semakin parah. Oleh itu, saya mengajak warga Tawau agar menghayati makna ‘kemenangan’ yang menjadi mahkota, selepas perjuangan selama sebulan menahan lapar dan dahaga di bulan Ramadan. Untuk itu, kita perlu membebaskan diri kita daripada tambatan nafsu yang membutakan mata hati, agar kita semua kembali kepada fitrah yang suci dan bersih.
Allahuakbar, Allahuakhbar, Allahuakhbar, Walillahilhamdu.



SDR. MUHAMMAD NASIR ALI
Ketua Pemuda



Saya mewakili kepimpinan Dewan Pemuda PAS Kawasan Tawau ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam Di seluruh dunia. Marilah kita menggunakan ‘ ruang kemenangan’ anugerah Allah swt dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya. Sedapat mungkin, kita wajar menghindari hari kemenangan daripada dinodai oleh tangan-tangan kita melalui amalan-amalan serta tindakan yang bersalahan dengan syariat Allah s.w.t. Makanan, minuman, pakaian, serta amalan ziarah biarlah mengikut sendi-sendi syariat Islam. Hindari amalan membazir, pergaulan bebas, hiburan melampau yang tidak menjadi budaya dalam Islam. Moga-moga hari raya yang kita lalui bersama akan menjadikan kita makin tertaut ukhuwah Islamiah dan sentiasa berkasih-sayang serta beriltizam untuk membawa obor perjuangan di bumi Tawau ini demi Islam kerana Allah swt.
Allahhu Akhbar...Allahhu Akhbar...Allahhu Akhbar...












0 Komen:


Free Blogger Templates by Isnaini Dot Com and Real Estate. Powered by Blogger