Ahad, Disember 28, 2008

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah

Biasa-biasa saja, suasana di akhir-akhir detik 1429 Hijrah tidak menzahirkan sesuatu yang berbeza berbanding hari demi hari, bulan demi bulan yang berlalu. Suasana sambutan tatkala Nabi s.a.w tiba diperbatasan kota madinah disambut bait-bait indah penuh kesyukuran dan riang tidak terkata, berganti dengan tembakkan bunga api di dada langit, hon kereta yang bersahutan dan pasangan anak muda yang dirasuk nafsu. Itupun kerana tahun baru masihi, kalau kerana Maal Hijrah tidak tahulah saya. Nyatalah pada kita, beza antara keduanya oleh hujung pangkalnya iaitu kembali kepada nikmat Iman.


Sejenak merenung kembali sebuah makna 'hijrah' yang hilang, ketika Taif cuma menghadiahkan lontaran batu-batu yang menyakiti Baginda, Kota Makkah terasa sempit oleh cacian dan seksaan quraisy, Khadijah dan Bapa saudara yang dikasihi tiada lagi disisi, bumi Madinah pula melebarkan jemputan, lalu Allah s.w.t memerintahkan kekasih-Nya hijrah kerana disebalik mehnah, disana ada janji Allah iaitu kemenangan bagi hamba-hambanya yang taat. Tidaklah hina jika miskin dan terusir. Tidak pula mulia kerana kuasa, pangkat dan kekayaan. Jika ujian menjadi trademarknya, maka ketaatanlah spesifikasi yang Allah mahukan.


Dari dimensi hijrah baginda yang luas, membentangkan kepada kita seribu jalan untuk berubah secara bertingkat dan berperingkat mengikut tabiat dan sunnatullah kehidupan di dunia yang dipagari kepayahan dan keperitan. Namun alangkah malangnya, jalan hijrah yang belumpun kepayahan, jalan mudah untuk susah sudahpun ditempah. Kerana apa, bukan kerana jahil tetapi kerana tidak mahu. Kerana 'tidak mahu' tersebut adalah wajah kepada keangkuhan dan kesombongan. Berjalanlah dan lihatlah puing-puing keangkuhan Firaun. Yang angkuh dan sombong hanyalah semata-mata kebodohan disisi Allah s.w.t.


Bagaimana dengan ISA dan yang sewaktu dengannya?





Di sebalik buku



hasil nukilan Asri Moro


Sebelum ini, saya ada membuat sedikit catatan berkenaan buku Tausug karangan Sdr Asri Moro. Penghuraian yang lebih tentang sejarah Islam yang terkandung dalam buku ini menanti mood yang sesuai saja untuk menjadi paparan. Bukannya senang...

Tidak sangka saya dapat bertemu dengan penulis buku ini Sdr Asri Moro semasa persidangan BIMP-EAGA di UMS beberapa bulan yang lepas. Riak wajahnya yang tenang menghadiahkan saya sebuah senyuman yang manis dan mesra. Ketika itu, kerajaan Filiphina dan pejuang Islam di Selatan Filiphina melalui fasa terakhir gencatan senjata dan beliau antara orang yang terlibat dalam menjayakan pertemuan tersebut. Bersama dengan sahabat beliau, berpesan kepada saya

" Walaupun perjuangan kami disana antara hidup dan mati, tapi perjuangan kamu disini agak bahaya. Kerana perjuangan kamu disini ditaburi dengan kemewahan harta benda "

Saya kira itulah pertemuan yang pertama dan terakhir. Beberapa minggu selepas itu, berita melaporkan serangan tanpa belas kasihan oleh tentera Filiphina ke kubu pejuang Islam selatan Filiphina. Satu muhasabah terbaik untuk tahun 1429 hijrah yang baru melabuhkan tirainya.



Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1430





0 Komen:


Free Blogger Templates by Isnaini Dot Com and Real Estate. Powered by Blogger