Jumaat, November 16, 2007

"BERSIH"



Genap seminggu selepas himpunan BERSIH berlangsung yang berjaya menghimpunkan ratusan ribu rakyat Malaysia, bagi menyatakan keinginan rakyat pelbagai lapisan untuk melalui pilihanraya yang telus dan adil. Satu kejayaan besar bagi pihak oposisi dan 67 badan NGO yang terlibat, menarik kematangan rakyat berpatisipasi untuk turun dijalan raya secara aman, sesuai dengan jaminan perlembagaan dalam sistem demokrasi.


Gelombang kuning yang membanjiri segenap sudut kotaraya Kuala Lumpur dengan laungan “takbir, Daulat Tuanku”, kemudian dihalang pula oleh anggota FRU yang bertindak kasar, disembur dengan water canon, lari bertempiaran ke celah-celah bangunan kemudian bersatu kembali menjadi kumpulan besar. Disembur lagi, lari bertempiaran, bersatu semula, begitulan suasana yang begitu dramatik sebelum penyerahan memorendum kepada Yang Di Pertuan Agong.


Merasai sendiri pengalaman bertempur dengan anggota FRU, disembur dengan water canon hingga basah lencun dan gatal-gatal pada kulit adalah satu kepuasan bagi mereka yang menyertai himpunan BERSIH. Bukan puas hati kerna apa, tapi puas hati kerana terasa manisnya perjuangan seorang da’i bila rintangan dan ujian silih berganti berjaya dilalui.


Ana dan beberapa orang sahabat hanya mampu menyaksikan himpunan ratusan ribu rakyat berdemonstrasi melalui youtube.com. Biarpun jauh di bumi Borneo, namun kami tetap berkongsi rasa, semangat dan gelombang yang padu daripada peserta-peserta yang terlibat secara langsung.


Bersemangat melihat peserta-peserta BERSIH, ada golongan tua, golongan kurang upaya, kanak-kanak dan wanita yang tekad berdepan anggota FRU...


Benci dan geram melihat anggota FRU yang sengaja bertindak ala mafia kepada peserta-peserta BERSIH...


Hampa kerana tidak mampu mengupayakan diri terlibat dalam himpunan BERSIH...



BERSIH bukan sekelip mata



BERSIH adalah sebuah gambaran kejayaan hasil usaha yang tidak putus-putus dan semangat yang tidak pernah pudar dalam memperjuangkan kebenaran. Sebelum itu pun, berderet kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh kelompok pejuang Islam yang mengunjur daripada PKS di Indonesia hinggalah ke AKP di Turki. Setiap kali kejayaan sebuah parti Islam memenangi pilihanraya disebar di media arus perdana, maka kita semua tumpang gembira, berbangga dengan kejayaan tersebut.


Apa yang pasti, BERSIH bukan bermula disaat gelombang kuning memenuhi jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur mahupun disaat tarikh 10 haribulan diumumkan. Ia sebenarnya rentetan daripada usaha yang tidak kenal erti penat dan letih sebelum ini lagi. Ada masanya, gerakan dakwah ini seolah-olah hilang dan tenggelam dalam keriuhan fitnah terhadap petugas-petugas dakwah. Adakalanya, gerakan dakwah ini seolah-olah ketinggalan jauh dibelakang dipintas oleh pecutan maksimum musuh-musuh Islam. Jika pemerhatian dibuat secara sambil lewa, mungkin ramai yang hanyut ditipu oleh fitnah yang ditimbulkan oleh musuh-musuh Islam. Hakikatnya, Percaturan secara berperingkat dan strategi nafas panjang sedang disusun dari semua sudut setiap waktu dan ketika. Cuma kadang-kadang musuh sendiri sebenarnya yang jatuh terjelepok menyebabkan kebenaran terserlah dengan sendirinya.


Persiapan yang bagaimana? Strategi yang bagaimana?


Usah tanya persiapan dan strategi itu bagaimana, soalnya sekarang ini apa yang sudah di ‘pelan’ kan sebaiknya sudahkah diterjemahkan dalam bentuk aktiviti yang sebenar. Persiapan bukanlah yang ala kadar sahaja, ia melibatkan kefahaman yang kukuh mematuhi pra syarat pertama bai’ah iaitu Al Fahmu. Strategi bukanlah yang indah diatas kertas, yang hanya menjadi lakaran emosi yang melambung tinggi orang-orang muda yang jauh dari kematangan dan realiti.


BERSIH tetap merupakan satu jalinan pengalaman yang dipindahkan dari satu generasi kepada generasi dakwah yang baru setelah melalui perjalanan yang panjang. Jatuh bangun dan perit getir gerak kerja dakwah terdahulu yang bermula dengan setapak demi setapak, diperkayakan lagi oleh generasi terkemudian yang sanggup menerima tanggungjawab yang besar ini. Yang terkemudian belajar dari orang yang terdahulu. Semangat orang muda, perlu diimbangi oleh realistik dan matangnya orang lama.



Di Sabah Apa Cerita ?



Emm..lagunya masih sama seperti dulu. Kalau ana tak silap ( betulkan kalau salah )


Sungguh jauh lagi perjalanan untuk gerak kerja dakwah di Sabah untuk sampai ke tahap perhimpunan BERSIH. Inilah realitinya, kalau di semenanjung nama-nama seperti Mahfuz Omar, Mat Sabu dan banyak lagi barisan pimpinan pusat merupakan warisan generasi terdahulu seperti Burhanudin Al Helmi dan yang lain. Wadah perjuangan anak mudanya pula seperti GAMIS, PMI dan banyak lagi institusi anak negeri yang menjadi medan latihan kepimpinan pada masa akan datang. Nampak begitu rancak dan subur sekali gerakan dakwah di semenanjung. Tidak kurang juga ramainya anak-anak sabahan ini yang terlibat dengan gerakkan disana.


Ana sengaja membandingkan gerak kerja di Sabah ini dengan gerak kerja dakwah disemenanjung supaya semua anak-anak sabah ini bangkit dari lamunan. Ada yang datang dari semenanjung selepas tamat pengajian walaupun sudah berpengalaman dengan gerak kerja di sana masih tidak mampu membawa sesuatu kepada dakwah di bumi kelahirannya. Ana katakan ‘ada’ bukan ‘semua’. Pentingnya mereka ini kedepan kerana pengalaman yang mereka miliki. Mudah patah hati dan kecewa, bukanlah ciri yang patut ada bagi seorang da’i. Lebih-lebih lagi bila melihat gerak kerja dakwah di sabah ini masih di tahap permulaan. Segala-galanya perlu di bina dari awal. Ujiannya, sabar menghadapi kerenah ahli yang baru mengenal usrah. Kena turun dengan seringan-ringan cakap dan bahasa.


Terimalah realiti cabaran dakwah di bumi sabah dengan penuh kecekalan. Jangan kecil hati kalau berusrah dengan para ustaz dan orang kampung sambil menghisab puntung rokok di tangan. Jangan kecewa jika usrahnya jam 9, ahli usrah sampai jam 10. Usrahnya pula hanya sekitar jalan masih belum bertar, elektrik belum sampai di kawasan kampung. Belum sampai kepada tajuk yang menyentuh soal falsafah dan pemikiran. Bila tiba pilihanraya, hanya ada dua DUN saja yang bertanding iaitu di Tawau dan Kota Belud. Tidak serancak kempen di semenanjung. Kalau nak advance sikit, ikut usrah Pemuda Tawau. Kalau di semenanjung ada GAMIS, disini cuma ada PSS yang baru merangkak perlahan. Kalau bukan anda, maka terpaksalah beberapa orang sahabat ana yang asalnya semenanjung bermastautin di sabah untuk menghidupkan gerak kerja dakwah disini. Kalau anda benar-benar intelektual yang ‘genuine’, mari turun ke medan dan tawarkan penyelesaian.


Tambah parah lagi jika graduan yang baru sampai membawa bebanan seribu persoalan dan bukannya seribu jawapan untuk menyelesaikan masalah yang wujud.


Belajar daripada gerak kerja dakwah disemenanjung memang banyak manfaatnya. Momentum BERSIH, perlu diteruskan dan dicontohi oleh sahabat-sahabat di bumi sabah ini. Mungkin kaedahnya berbeza sedikit kerana di sini masih terlalu asing dengan demonstrasi. Lihatlah aktiviti di kawasan, aktiviti Pemuda Negeri, PSS, IMBOS, Nisa, Unit Amal dan Dewan Muslimat, barulah kita boleh menentukan apakah kaedah yang sesuai. Inilah ruang lingkup medan dakwah kita negeri di Bawah Bayu ini.




Menulis Untuk Diri



Menulis idea diatas seperti terkena pada batang hidung sendiri. Terasa diri ini masih terlalu kerdil berbanding idea yang ditulis. Masih jauh daripada melakukan tindakan yang sepatutnya.


Ana sedang mencuba sedaya upaya ke arah itu....




0 Komen:


Free Blogger Templates by Isnaini Dot Com and Real Estate. Powered by Blogger