Isnin, September 29, 2008

Keluar 3 Hari...




"..bulan Ramadhan bulan ibadah, pahala digandakan doa diterima.."
. Merdu alunan suara kumpulan Hijjaz, menceriakan perjalanan kami meninggalkan Bandaraya Kota Kinabalu untuk seketika.


Saya, sdr fairuz, sdr Yusri, Cikgu Fakkar dan Cikgu Anuar akan berwisata selama 3 hari dalam misi memburu Lailatul Qadr yang agung itu. Disamping itu, kami akan
memberikan sedikit sumbangan daripada Yayasan AMAL untuk tempat-tempat yang akan kami kunjungi nanti. Antara destinasi yang akan kami tuju iaitu Masjid kg Wonod Telupid, Masjid Daerah Beluran dan PASTI Kinabatangan.



Mudah-mudahan ada rezki....





Masjid Kg Wonod, Telupid



Masjid Kg Wonod



Terhibur hati saya melihat anak-anak kecil Kg Wonod, berlari-lari riang mendapatkan sdr Fairuz....




Sdr Fairuz bersama kanak-kanak Kg Wonod



" pakcik,pakcik...dia belum dapat lagi ". kata seorang kanak-kanak kepada sdr Fairuz



" Mana dia, panggil pigisini "...Kata sdr Fairuz yang sedang dikerumuni anak-anak kecil Kg Wonod.



" Adik ni pandai membaca ka ndak ? "..Tanya sdr Fairuz. Saya hanya memerhati gelagat anak-anak kecil itu dari jauh. Malas nak campurtangan.



" Kalau ndak pandai membaca, nah ambil yang ini. Kalau pandai membaca ambil yang ini"..Sdr Fairuz memberikan sekeping majalah ana muslim. Bukan main gembira lagi adik tersebut, lantas kembali mendapatkan semula kawan-kawannya yang tengah khusyuk membelek-belek majalah ana muslim yang diberikan tadi.



Wajah anak-anak kecil ini, mewarisi ketabahan ibu bapa mereka mengharungi hidup dalam dunia yang dipinggir oleh kemajuan, namun tetap bersyukur dan redha walau dengan hanya rezeki padi huma dan dusun buah-buahan di lereng-lereng bukit. Sejuk hati menatap, timbul rasa kasihan untuk membelai.


...tiba-tiba saya disapa



"...Pakcik, saya pun mau buku jugak.."..seorang adik kecil bertudung comel persis watak utama majalah ana muslim.



" Oh, adik mau jugak. mari sini pakcik bagi buku "...adik tersebut tersenyum gembira. Tahi lalat di bawah bibirnya menambah manis lagi senyumannya. Adik ini masih bersekolah rendah, kalau 'budak ISEUMS', lama sudah saya jatuh hati.



Saya dikhabarkan oleh orang-orang lama disini, terdapat lebih kurang 10 keluarga muallaf yang tinggal agak jauh dari Masjid Kg Wonod. Jauhnya lebih kurang 3 ke 4 batu ke dalam kampung, yang kebanyakkannya terdiri daripada masyarakat Dusun. Tanpa sebarang enjin bermotor boleh masuk ke dalam, keluarga muallaf ini tetap teguh berpegang dengan Islam biarpun terpaksa mewarisi 'papa kedana', kerana itulah perjanjian sebelum memeluk Islam… " kamu tidak boleh mewarisi harta keluarga"…


Ustaz Tasim ( 3 dari kiri ) bergambar dihadapan sekolah agama Kg Wonod

Saya juga kagum dengan semangat Ustaz Tasim selaku tenaga pengajar yang dilantik oleh JAKIM disini. Beliau sanggup mendaki lereng-lereng bukit, melalui denai-denai hanya semata-mata untuk mendidik saudara baru kenal alif, ba, ta dan asas-asas solat. Bagi beliau, itulah usaha yang mampu dilakukannya kerana pendakyah kristian menggunakan wang untuk memujuk semula keluarga yang baru memeluk Islam ini. Saudara baru ini begitu bersungguh sungguh mempelajari Islam, malah mengharapkan agar kami sentiasa datang memberi kuliah di kampung mereka.




Situasi Berbeza


Berbeza pula di alam kampus yang kononnya tempat berhimpun para intelek, walaupun pelbagai program ilmu disajikan tapi hambar dari segi kehadiran. Yang dikejar, yang ditampung habis-habisan hanyalah program-program fasiq bersulam munafiq, berkosmetik dengan apa yang dinamakan sebagai 'semangat patriotik, kebudayaan' dan yang sewaktu dengannya. Yang dicanang, yang di usahakan habis-habisan hanyalah kekeliruan yang faedahnya habis hilang bagai debu-debu berterbangan. Bukannya tidak ada alternatif disediakan, tapi hakikat akal yang tidak mahu tunduk kepada kebenaran walaupun jelasnya seperti matahari terik diatas kepala. Buku-buku yang diusung setiap hari keluar masuk kuliah, hanya menambah maklumat dalam kepala, bukannya ilmu dalam dada. Sebab itu, petunjuk dan kesesatan tidak mampu dibezakan lagi. Nafsu dan akal saling bantu membantu ke jalan kesesatan dan kekeliruan. Sesat lagi menyesatkan. Sanggupkah menukar hidayah dengan kesesatan ? bagaimana mungkin terjadi ?..Nauzubillahi minzalik...



Belilah hidayah Allah biar semahal mana sekalipun. Juallah kesesatan dengan harga yang paling mahal, biar tiada seorang pun didunia ini mampu membelinya.



Ke Beluran


Rombongan kami bertolak meninggalkan kg Wonod dengan harapan, kami akan membantu sedaya yang mungkin. Saudara seIslamku, genggamlah Islam walau seperti menggenggam bara api.


Kami meneruskan pemburuan kami ke destinasi yang seterusnya iaitu Beluran..




Khamis, September 25, 2008

PASTI di Kg Lobou





Sekali lagi, rezeki berbuka puasa saya bersama masyarakat Dusun di Kg Lobou. Semenjak dua menjak ni, saya begitu dekat dengan masyarakat Dusun.
Seperti di kampung lain, suasana 50/50 muslim dan non muslim adalah suasana yang biasa saja.

Mungkin ada hidayah yang menanti, di penghujung kegelapan menanti kasih-Nya


tuhan....Kita ada urusan dakwah yang belum beres




Lihat itu..para petugas sedang membahagi-bahagikan sumbangan berbentuk buah kurma yang akan diberikan penduduk kampung. Istimewanya kurma Aslam produk ni kerana tertera disitu " Sumbangan Ikhlas oleh Y.b Ustaz Nasharudin Mat Isa "










Selesai solat maghrib, Cikgu Anuar memberikan tazkirah mengingatkan semua yang hadir tentang malam Al Qadr. Pada masa yang sama, PASTI Kg Lobou ditubuhkan selepas setahun lebih penantian orang-orang kampung. Pelajar non muslim pun akan diterima masuk sebagai murid di PASTI ini.










Bumi yang subur


Jika anda tahu, bumi Sabah ini adalah bumi yang paling subur untuk dakwah. Seperti benih yang ditanam, disiram dan dibaja setiap hari. Hari esok, minggu depan, satu persatu tunasnya tumbuh dan akarnya menjalar terhunjam ke bumi. Setelah itu, dedahannya menjulang tinggi, mencapah lalu peputiknya pun tumbuh mengerumuni ranting-rantingnya. Akhirnya, ia tumbuh besar menjadi pohon yang rendang dan lebat dengan buah-buahan yang senang untuk dipetik. Pohon itu juga menjadi tempat berteduhnya musafir yang dalam pemergian, singgah sebentar sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi yang di tuju.



Begitulah ibaratnya dakwah....hari ini kita tanam benihnya, esok kita petik hasilnya




.....Salam Lebaran semuanya.....




Ahad, September 14, 2008

Jelajah ke Nunuk Ragang



Ada Cerita


Pemandangan lembah Nunuk Ragang



Hampir setahun lamanya saya meninggalkan bumi Nunuk Ragang. Kini, saya beserta sahabat-sahabat Yayasan AMAL bakal berjejak semula ke tanah asal usul kelahiran suku kaum Dusun yang penuh dengan lagendanya.

Sebenarnya saya lebih terkesan dengan sejarah Islam yang pernah tercatat dalam lipatan keindahan lembah ini. Pada zaman pemerintahan USNO dulu, inilah kawasannya tempat pengIslaman lebih kurang 3000 orang penduduk kampung disekitar Nunuk Ragang ini. Seperti sejarah yang telah berlalu, meninggalkan pedih dihati ummat mengenangkan penduduk kampung yang telah melafazkan Dua Kalimah Syahadah itu kini cuma lebih kurang 10 keluarga sahaja yang masih Islam. Yang selebihnya, telah bertukar ke agama Kristian. Satu sejarah luka yang pahit, namun terpaksa ditelan jua.

Ya Allah, kepada siapakah amanah ini yang telah Engkau pikulkan ? Ampunilah hamba-hambaMu ini diatas segala kelemahan dan kecuaian..........


" Kenapa kebanyakkan jiran-jiran Pakcik masuk agama Kristian ?..saya bertanya kepada seorang penduduk kampung yang kami ziarahi.

" Dulu, lepas kerajaan kasi masuk Islam, dorang tidak datang lagi ajar orang kampung macamana ibadat selepas masuk Islam "..bersungguh pakcik tersebut menerangkan kepada rombongan saya

" Jadi, bila orang Kristian datang, diorang selalu datang ajar orang kampung macamana mau buat ibadat, kasi bantuan sama orang kampung. Itu sebabnya banyak orang kampung ikut pendakwah Kristian " ..sambung pakcik tersebut.

Saya tertunduk bisu




Surau An Najah



Surau An Najah terkini


Hampir setahun lalu, Surau An Najah ini hanya ada ruang solat tanpa ada sebarang kelengkapan asas seperti elektrik, tandas dan bekalan air. Bayangkanlah surau yang terletak bersebelahan dengan jalan utama K.K - Tawau masih tidak mendapat bekalan elektrik !

Alhamdulillah, selepas bertahun usaha gigih Ustaz Akhwan dan team Unit AMAL Pusat berulang alik ke Sabah memberi bantuan kepada penduduk kampung, akhirnya surau ini sudah ada sedikit kemajuan dari segi kemudahan asasnya. Banyak pihak terutamanya daripada jabatan kerajaan telah mula memberi perhatian dengan memberi peruntukkan kewangan untuk memajukan surau ini. Usaha dakwah yang seharusnya ditauladani daripada team Unit AMAL dan Yayasan AMAL.

Pada hari yang sama, kami berbuka puasa bersama penduduk kampung yang datang bersama anak-anak kecil yang masih didukung oleh ibu-ibu. Selesai berbuka, sumbangan berbentuk keperluan makanan diberikan kepada penduduk kampung yang datang dan selepas itu bersolat terawih pula yang di Imamkan oleh Presiden Persatuan Siswazah Sabah, Sdr Bunyamin. Ternyata, penduduk di sini berasa bertuah dengan kehadiran kami dan sentiasa memberikan sambutan hangat setiap kali kami berkunjung ke sini.


Sumbangan kepada penduduk Kampung


Keesokkan paginya, kami semua bersiap-siap untuk pulang. Ada sahabat-sahabat yang pulang ke Tawau dan Sandakan. Walaupun hanya sehari dua, rasa puas berbunga dihati kerana dapat membantu orang kampung tambah-tambah lagi di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini.



Kami balik dulu Nunuk Ragang. Besok-besok kami datang lagi ya.....




Khamis, September 11, 2008

Ke Pejabat BPR

Semalam saya ke pejabat Badan Pencegah Rasuah.


Pada pukul 12.00 tengah hari, saya dihubungi pejabat Ketua Pemuda KEADILAN Sabah iaitu Bro Razak. Beliau meminta senarai nama wakil Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah yang akan ikut serta menyerahkan laporan di Pejabat Badan Pencegah Rasuah.




Isunya berkenaan kenyataan Dato' Yong Teck Lee dalam Utusan Melayu kalau tidak silap saya yang mengatakan dua ADUN yang terlibat dengan perjumpaan di Taiwan kerana mendapat 'hadiah wang saku' berjumlah RM 50,000.00

Selesai bertemu dengan wakil pengarah BPR, kami ditemu ramah oleh wartawan yang datang termasuk daripada Utusan Melayu yang agak mengenali saya.

Hmm...politik di Sabah, sinonim dengan jurus lompat melompat. 16 September tarikh yang memberi kesan yang berbeza sabah dan semenanjung untuk kita nantikan kemunculannya. Samada ia memberi kesan kepada kuasa Islam atau tidak, " Something must be done "




Berbuka di Kg Kobuni








Kesesakkan bandar Inanam yang mendera perasaan bertukar menjadi tenang dan damai sebaik saja kereta Ford Ranger Cikgu Anuar menyusur masuk ke kawasan perkampungan Kg Kobuni.

Ah..tenangnya suasana Kg ini...Sambil mata saya meneroka setiap sudut bukit-bukau yang memagari kampung kobuni. Perlahan-lahan perasaan tenang meresap masuk ke dalam hati saya.

Saya pertama kali melangkah masuk ke surau Kg kobuni yang dinamakan dengan surau Al Aqsa. Walaupun tidak sebesar mana, tapi cukup menampung kehadiran jamaah setiap kali solat berjamaah. Dalam keadaan sebegitupun orang-orang kampung tetap istiqamah mendirikan perintah Allah s.w.t...Kg Kobuni, Islammu menyentuh hatiku untuk lebih bersyukur.



Berbuka puasa bersama orang kampung

Sebenarnya, Kg kobuni ini memang sudah dikenali bukan sahaja disekitar daerah Inanam. Malah banyak institusi pengajian tinggi yang berlumba-lumba untuk mengadakan program termasuklah NGO-NGO Islam. Entah apa rahsia orang kampung disini.

Kalau disebabkan keindahan alam semulajadinya, memang ya. Kalau pada keramahan dan lemah lembut orang kampung disini memang sudah semestinya. Suku kaum Dusun yang majoritinya penghuni kampung Kobuni memang dikenali dengan lemah lembutnya.

Tiba-tiba wajah Nazrey Johani, vokalis kumpulan Raihan menjelma dalam minda saya. Beliau juga dari suku Dusun. Katanya.." kalau nak cari calon, carilah orang dusun. Setia kepada suami "..Wah, cepat-cepat saya mengusir fikiran yang bukan-bukan....Ujian orang bujang

Dan satu lagi, inilah satu-satunya kampung muslim ditengah-tengah deretan kampung non muslim sepanjang perjalanan dari bandar Inanam ke Kg Kobuni




Generasi muda Kobuni

Selesai solat Isyak, saya menggantikan cikgu Anuar untuk mengimami solat terawih pada malam itu. Mikrofon yang tidak berfungsi dengan baik memaksa saya menguatkan suara agar dapat didengari oleh saf muslimat dibelakang. Walaupun pitching suara saya agak lari kerana selsema, saya teruskan mengalunkan bacaaan terawih ala-ala Syeikh Al ghamidi. Sesekali tiun suara lari, sebijik macam suara serak-serak basah Amy Search.

Selesai salam, suara saya sudah hilang...fuh, nasib baik 11 rakaat


Saya menghabiskan masa more bersama anak-anak muda Kobuni...alahai, mereka ni pun lebih kurang macam saya juga rupanya, jejaka pemalu semuanya. Tapikan Rasulullah lebih pemalu dari seorang anak dara..

" ok, kamu kumpul team, besok-besok abang datang sama team lawan kamu punya team. Macamana ? saya cuba menarik minat mereka.

" ok bang !! semangat adik-adik Kobuni menerima pelawaan saya


Dalam perjalanan pulang, kami dihidangkan cerita silam cikgu Anuar masuk ke Kg Kobuni menyampaikan tazkirah lebih kurang 4 tahun lalu. Mudah-mudahan kami semua dapat menyambung kerja-kerja dakwah yang telah beliau usahakan hingga ke hari ini Kg Kobuni.


Takbiiiir!!!





Ahad, September 07, 2008

Petisyen PR Pensiangan







Hari ini





Baru tadi, saya ditemani saudara Abdul Hamid pergi ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu untuk mendapatkan jawapan mahkamah bagi Petisyen Pilihanraya Pensiangan.








Tn Hj Ansari dan Penyokong PR



Tuan Hj Ansari, Pengerusi Perhubungan Keadilan Sabah telah mengemukakan petisyen terhadap pilihanraya Pensiangan dan mahkamah telah menerima bantahan tersebut hari ini. Keputusan mahkamah ini akan dirujuk seterusnya kepada Suruhanjaya Pilihanraya untuk menentukan tarikh pilihanraya di Pensiangan yang dijangkakan berlaku selepas hari raya nanti. Syabas dan tahniah Pakatan Rakyat.....sama-samalah kita nantikan.



Kemarin


Peserta Konvensyen Pendakwah Sabah Kali Ke - 3


Ini kali ke - 2 saya menyertai konvensyen Pendakwah yang diadakan 3 tahun lepas. Berbanding tahun lalu, peserta kali ini lebih ramai yang menghimpunkan para da'ie dari seluruh Sabah.


Turut kelihatan bersama dalam konvensenyen ini iaitu sahabat-sahabat dari PLD Keningau, ABIM,Persatuan Siswazah Sabah, JIM dan banyak lagi. Saya sebagai wakil Yayasan AMAL dalam konvensyen kali ini.


Pada hari terakhir, Konvensyen kali ini telah bersepakat menyatakan 12 resolusi yang dinamakan sebagai "Resolusi 7 Ramadhan 1429H" :


1. Menggesa pihak JAKIM mewujudkan program Diploma Dakwah Lapangan melalui Pusat Latihan Dakwah seliaan JAKIM.


2. Menambah baik program pendidikan yang sedia ada di pusat-pusat latihan JAKIM dengan memfokuskan bidang-bidang seperti kemahiran ICT, Kepimpinan, Komunikasi dan seumpamanya.


3. Menggesa pihak JHEAINS mewujudkan Syukbah Remaja Masjid di setiap masjid dan surau di seluruh negeri sabah yang dipimpin oleh golongan muda contohnya seperti penubuhan Kadet Remaja Masjid.


4. Menggesa kerjasama yang lebih kukuh di antara agensi penguatkuasaan dalam menangani gejala penyelewengan Akidah, sosial dan seumpamanya khususnya dikalangan remaja.


5. Menjadikan masjid mesra remaja sesuai dengan pemartabatan masjid sebagai Pusat Kecemerlangan Remaja.


6. Menggesa pihak-pihak yang berkaitan dengan pembangunan remaja memperuntukkan dana khusus kepaa NGO Islam yang menjalankan aktiviti-aktiviti remaja.


7. Menggesa setiap premis tumpuan orang ramai dan taman-taman perumahan mempunyai masjid dan surau yang terletak di lokasi yang strategik.


8. Melaksanakna penganjuran simposium remaja muslim secara tahunan.


9. Memperbanyakkan latihan-latihan bagi memahami aspirasi remaja dan isu-isu yang berkaitan dengan mereka kepada semua pihak.


10. Menggesa pihak sekolah memperhebatkan lagi program pembinaan jati diri remaja Islam di peringkat sekolah.


11. Menyeru pihak-pihak tertentu yang menganjurkan sambutan keramaian supaya menambil kira pengisian yang tidak merosakkan golongan remaja.


12. Memperbanyakkan aktiviti hiburan dan rekreasi yang berunsurkan Islam.



Tahniah kepada JAKIM dan seluruh pegawai yang terlibat...

Jumaat, Ogos 22, 2008

Dari Muktamar




Berkenaan Muktamar PAS kali yang ke 54 ini, sudah banyak ulasan dan huraian dalam blog-blog mahupun laman-laman web.
Jadinya, saya fikir tidak perlulah ulasan yang sama diulang-ulang. Segala hal yang menjadi kontroversi dalam Muktamar Pemuda hinggalah ke Muktamar penuh yang berkaitan dengan isu muqabalah, pakatan rakyat dan isu kelab penyokong PAS di bungkus kemas dan cantik oleh Tuan Presiden dalam ucapan penggulungan pada tengah hari 17 Ogos 2008. Tidak ada lagi keserabutan, tidak ada lagi kesamaran. Semuanya telah jelas seperti teriknya matahari diatas Stadium Indera Mulia.



The Road to Muktamar



Dari Kota Kinabalu ke Banting Selangor. Saya disambut penuh mesra oleh Pakcik Mohd Badri. Pakcik Mohd Badri yang dalam gambar berbaju warna merah, menumpangkan saya tidur dirumahnya semalam dua, sebelum bertolak ke Perak.Terima kasih Pakcik, halalkan makan dan minum saya.








Sebelum sampai Ipoh, perjalanan kami menyinggah sekejap di Putrajaya







Inilah Radix pertama saya di bumi Perak. Sebaik saja melangkah sempadan, kami singgah sekejap di gerai tepi jalan untuk menghilangkan dahaga. Yop, jemput minum.













Sebelum sampai di Ipoh, tourist guide perjalanan saya Sdr Khairy Junoh dan Sdr Abdul Hamid berpusing pula ke Teluk Intan. Saya bergambar di depan menara condong Teluk Intan, bukan Menara condong Pisa di Itali. Penangan tempoyak Teluk Intan, secara automatik lidah saya petah 'berslang' Perak.

"Moh makan doghoyan"..saya mengacah Sdr Abdul Hamid














Inilah dia Stadium tertutup Indera Mulia tempat berlangsungnya Muktamar kali ini. Kami terus ke lokasi Muktamar bersama perwakilan dan pemerhati yang baru sampai. Tak sabar-sabar pula rasanya, apakah reaksi pencinta - pencinta Islam terhadap kemenangan yang baru setahun jagung ini. ...Dag dig dug didalam dada...





Buku Tausug VS Isu PATI

Saya begitu terpanggil untuk menjelaskan isu PATI yang menjadi salah satu usul dalam Muktamar kali ini. Saudari Aiman athirah aljundi dan perwakilan dari Sabah telah menjelaskan kepada para perwakilan dan pemerhati kepada wujudnya perbezaan sisi pandang dalam menangani isu ini antara semenanjung dan Sabah.

Saya kemudian teringat kepada buku Tausug yang dikarang oleh Sdr Asri moro. Bagi saya, jika ada sesiapa yang mahu menemukan semula antara Islam dan perjuangan di sabah, inilah bukunya dan inilah rujukannya. InsyaAllah, saya akan cuba untuk mencari mutiara yang hilang itu seterusnya menjawab isu pengusiran PATI yang ada 'udang di sebalik batu' itu.





Ahlan wasahlan ya Ramadhan





Sabtu, Julai 26, 2008

Antara 2 Darjat


Tragedi Kg Suluk ( Kg Bakau )


Mungkin belum terlambat rasanya saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada pimpinan ISEUMS atas kecaknaan mereka terhadap insiden pemindahan atau dalam bahasa kasarnya 'Pengusiran' beramai-ramai apa yang dinamakan PATI ke negara asal mereka. Walaupun dibelakang sana ada terdengar suara-suara 'sumbang' agar tunduk dan akur saja, sebagai student yang hanya perlu menumpu kepada buku dan bilik kuliah. Ah..bosannya dengar suara-suara seperti itu



PKR Sabah, 1 kata 2 makna

Melihat semula kepada usaha murni Tun Datu Mustapha dalam lakaran sejarah politik di Sabah, adalah menjadi satu keabsahan bahawa ia adalah untuk mengimbangi kedudukan muslim dan non muslim yang memang besar jurangnya. Selepas itu, peralihan kuasa dari parti-parti yang wujud di Sabah telah mengheret politik sempit perkauman hingga menenggelamkan kepentingan dan survival orang-orang muslim yang asasnya dibina begitu baik oleh Tun Datu Mustapha.

Memang benar, isu 'perkauman' telah menjadi bahan komersil untuk menjustifikasikan kekuasaan dan tampuk pemerintahan terus berada di tangan pihak tertentu. Walaupun simbol keadilan yang lebih menarik selera politik orang-orang Sabah, namun intipati perjuangannya masih bias kepada keadilan kaum tertentu sebenarnya. Lalu, keadilan sejagat yang mewajahkan cita-cita Pakatan Rakyat di semenanjung agak sukar larut dalam Pekatan Perkauman di Sabah. Keadilan Sabah dalam dua nakhoda satu kapal pada hari ini, sedang bergelut diantara dua makna 'keadilan'. Yang satu mirip kepada bulan purnama, yang satu lagi lebih dekat kepada perkauman.




Menjuarai Isu


Merenung jauh pakatan


Tenggelam timbulnya isu-isu di Sabah ini begantung sejauh mana ia mampu dilontarkan di tengah-tengah masyarakat. Seingat saya, isu-isu rasuah dan penyelewengan di Sabah ini tidak kurang juga hebatnya seperti di semenanjung. Cuma kekurangannya, aktivis-aktivis kita masih tidak mampu kedepan membawa isu-isu masyarakat. Isu datang dan pergi namun, samada pemuda PAS mahupun Pemuda Keadilan masih banyak bergantung dengan suasana di Semenanjung. Mungkin kelebihan sedikit bagi pemuda Keadilan yang dibarisi oleh barisan peguam belaka. Sementara pemuda PAS rata-ratanya diwakili oleh guru-guru, sudah tentu banyak kekangan dan sebagainya.


Kalau begitu, adakah semata-mata bergantung kepada aspek pengurusan dalaman parti sahaja akan mampu melangkau jauh dari bertanding di DUN ke peringkat Parlimen?

Adakah, sokongan rakyat yang diterjemahkan kepada undi kemenangan tidak melibatkan kemampuan pemuda pakatan menjuarai isu-isu rakyat? ...isu rasuah, isu pecah amanah, isu penyelewengan dan banyak lagi,tidakkah ia menjadi satu kewajipan untuk mencegahnya dari sudut pandang tarbiah?


Setelah kita akur bahawa pengurusan dalaman dan menjuarai isu rakyat adalah satu gandingan mantap, mampukah majoriti guru-guru pemuda Pakatan rakyat keluar dari batas yang tidak boleh dilangkaui ini( Jawatan sebagai guru )? kalau begitu, saya bimbang perancangan yang kita terjemahkan dalam bentuk tindakan hanya terbatas dalam lingkungan "Guru" semata-mata. ( saya bukan anti cikgu ).


.......Saya berhenti merenung, lalu mengambil lebihan bendera Pakatan yang belum siap di tampal.



Generasi Pewaris


Semangat Bro! Cayuk, cayuk!


Senyum Tuan Guru?


Saya menoleh kebelakang melihat generasi waris kerja-kerja dakwah. Kuntuman bunganya kembang mekar di taman tarbiah. Warnanya menghijau segar menyejukkan mata yang memandang.


Tumpang glamour

Melihat ke depan jalur-jalur lebar ujian dan rintangan, saya terkenang kata-kata abang Mat

Katanya...." Allah akan terus memberi pertolongan kepada jama'ah Islam selagi mana ada orang yang ikhlas kerananya. Mungkin saja seorang pimpinan, mungkin juga pekerja susun selipar di tepi tangga. Sebab itu Allah melindungi PAS sampai sekarang "




Rabu, Julai 23, 2008

Gerimis Yang Sendu




Jenazah selesai di sembahyangkan




Keranda Jenazah dalam van


Bertanyalah pada mata..."Wahai mata, apakah yang kau saksikan itu?


kemudian....


Bertanyalah pada hati.."Wahai hati, apakah yang kau rasakan ?


Itulah kematian...


Saat ia tiba, tidak akan diundur walau sesaat, tidak pula maju walau sesaat


Bersediakah kamu wahai diri ?



Antara teman-teman yang datang



Mendung di pagi 23 Julai, seakan-akan mengerti bahawa akan ada yang pergi untuk selamanya. Rupanya, gerimis yang tidak dapat ditahan mendung itu jatuh berderai bersama kenangan yang datang bertimpa-timpa.


Biarkan saja gerimis itu, mengiringi pemergian beliau untuk selamanya....






............. Al Fatihah buat Arwah Azman Usman yang pergi pergi buat selamanya..........








Sabtu, Julai 05, 2008

Setiap Hari Adalah Sejarah, Kamu Dimana?


Hari ini saya dan Bro Lahirul bersama Bro Razak Jamil
Ketua Angkatan Muda Keadilan Sabah dan Bro Ramlan Naim bekas setiusaha AMK Sabah ke Pejabat Polis Karamunsing untuk mengemukakan laporan berkenaan akuan bersumpah Balasubramaniam yang diikrarkan pada 1 Julai 2008. Tepat pukul 8.30 pagi kami semua bertemu di perkarangan Pejabat Polis Karamunsing.

Selepas menjalani prosedur biasa, hanya Bro Ramlan saja yang dipanggil untuk diambil keterangan. Pada perkiraan kami, Bro Ramlan akan duduk selama 2 jam paling kurang untuk prosedur ambilan keterangan. Tidak sampai setengah jam, beliau sudah keluar. Beliau sendiri tidak menyangka prosedur kali ini agak mudah.



Burung Pipit

Saya mungkin umpama burung pipit yang menggunakan pa
ruhnya yang kerdil berisi air, mahu memadam api yang marak menggunung membakar tubuh Nabi Allah Ibrahim. Kalau diukur, siapalah pipit itu mahu menghalang kesombongan Namrud, singgahsananya dan bala tenteranya. Jika kerdilnya pipit itu sebagai alasan, kan banyak lagi burung-burung lain yang lebih gagah dan kuat. Tentu mudah saja kalau burung flamingo beramai-ramai memadam api yang marak menyala membakar Nabi Allah Ibrahim. Dengan alasan itulah burung-burung yang lain hanya terpaku melihat keadaan yang gegak gempita itu.


Seruan burung pipit itu jelas. " Aku tidak ditanya sa
mada ia berjaya atau tidak, tapi aku akan ditanya, buat atau tidak ? "



Untuk melihat kezaliman dan fitnah bersimpang siur bermaharajalela dengan tangan berpangku tunggu dan lihat adalah satu kezaliman juga. Jika benar DSAI bersalah, maka beliau sendirilah akan menjawab dihadapan Allah s.w.t kelak. Tapi jika DSAI benar dan tidak ada tangan-tangan yang cukup menghulurkan bantuan, maka saham kezaliman itu juga ada pada kita. Zalim kerana membantu si zalim dengan berpangku tangan tunggu dan lihat. Kamu dimana ?

6 Julai adalah juga hari yang bersejarah, dan setiap hari adalah sejarah. Tetapi kamu dimana ?



.....saya suka tajuk header www.rijal82.blogspot.com..........







Jumaat, Jun 20, 2008

Fajar Baru


Ingin saja saya marahkan dikau gunung Kinabalu. Tatkala sahabat-sahabat GAMIS datang untuk menikmati kecantikanmu, kenapa tidak kau luahkan saja perasaanmu selama ini. Katakan saja kepada mereka, betapa bumi sabah ini begitu dahagakan para pendakwah seperti mereka. Anak-anak muda yang memiliki semangat juang yang tinggi itu pasti simpati denganmu.


Namun, kau tetap seperti selalu. Memendam segala kerinduan pada fajar dakwah dalam lipatan panorama memukau bumi kudasang. Kau simpan semua harapan kebangkitan Islam pada kabus dingin yang berarak, yang hilang entah kemana tatkala fajar menyinsing.




Fajar Baru


Begitulah harapan saya... Selesai 'berguru' dengan sahabat GAMIS dari semenanjung seperti ada kekuatan baru yang mengalir dalam jiwa adik-adik peserta. 3 hari selepas program, persembahan multimedia yang diberikan semasa program masih menjadi sarapan pagi setiap kali mata celik di pagi hari. Saya juga, begitu terkesan dengan perkongsian selama 3 hari di bumi Sabah ini.


Semangat yang padu, jiwa yang bergelora dan kemantapan ilmu yang terhimpun dalam dada anak-anak muda ini, begitu menepati kehendak ciri-ciri Pemuda Hizbullah seperti yang tertulis dalam kitab-kitab haraki. Tidak keterlaluan, tapi semua sisi pandang ini perlu diambil untuk penambahbaikkan gerak kerja dakwah, bukan dari sudut-sudut tertentu sahaja.
Kesan tsunami politik, telah menggerakkan semula daya mahasiswa yang suram dibelenggu akta-akta yang karut marut. Kebangkitan semula ini, semestinya akan memberikan landskap baru dalam dunia politik kampus menjelang PRK nanti.



Terfokus kepada GAMIS Borneo, saya begitu berharap agar perubahan yang dinanti nantikan itu adalah jelmaan cantik dan sempurna daripada kesepaduan antara kefahaman, perancangan dan perkongsian gerak kerja disamping belajar dari pengalaman yang dikutip sebelum ini. Belajarlah daripada kemenangan di 5 buah negeri oleh Pakatan Rakyat, bahawa status kita bukan lagi sebagai pembangkang semata-mata. Malah kita sudah bersedia untuk memerintah dan kita perlu bersedia. Buktikan bahawa tanzim dan organi
sasi Islam mampu dan berupaya untuk menggalas beban amanah yang menanti. Termasuklah beban berorganisasi dan akademik sebagai asas, kedua-duanya mesti dan mampu di angkat oleh pencinta-pencinta Islam. Jika tidak, wibawa kita belum terbukti lagi. Saya menyeru kepada diri saya sendiri.

" wah, hebatnya abang abang GAMIS, demonstrasi sana sini"...begitulah barangkali getus hati adik-adik peserta melihat persembahan multimedia di depan mata. Terlopong melihat kelantangan Mahasiswa di semenanjung , tidak gentar berdepan pihak pentadbiran.


Iya, semangat begitu perlu dilihat kepada sudut yang mencapah pelbagai faktor. Jangan lupa, sebelum keberanian datang untuk berdemo, kematangan pemikiran mereka lebih d
ahulu terbina melalui budaya ilmu yang begitu rancak. Jangan lupa, mereka ada generasi terdahulu yang merintis jalan dengan pengorbanan yang tidak sedikit. Ia adalah perjalanan sejarah sebenarnya.

Jangan pula ambil mudah, ia bukan soal berani semata-mata.
Ia adalah sistem dan nilai yang berinteraksi, yang melahirkan kesedaran yang bukan dipaksa-paksa untuk bekerja. Ia juga pendekatan hikmah yang menghidupkan rasa untuk berkorban pada setiap hati hati yang merasai sentuhan tarbiahnya. Ketinggian Iman kuncinya, lalu diserap pada setiap elemen kekuatan seperti Ukhwah, tanzim dan sebagainya.


Anda bagaimana? .... buku Haraki pun boleh dibilang dengan jari.



Budaya membaca?...


Usrah?...


anda sendiri punya jawabannya. Masih ada mentaliti "suka buat sedikit, mahu hasil yang banyak"





Tawarkan Penyelesaian


Makan Malam Alumni

MARSIS atau Markaz Siswa Siswi Islam Sabah pernah dikecam kerana beberapa insiden ' Lone Ranger' satu masa dahulu. Hari ini, sahabat sahabat MARSIS telah kembali semula menebus semula kesilapan yang lalu. Kesediaan mereka untuk bersama sama menyelami susah senang dakwah dibumi sabah ini merupakan nikmat yang besar yang harus kita syukuri.

Apa yang saya ingin tekankan disini iaitu bukanlah soal MARSIS itu, tapi ini soal bagaimana kita melihat sesuatu masalah yang kita hadapi dan respon kita terhadapnya. Realitinya, kembalinya MARSIS ke pangkuan Pemuda bukan dengan istilah 'pancung dan tembak', tetapi dengan istilah 'tawarkan penyelesaian' oleh barisan pimpinan.



Hati yang jauh jangan ditambah dengan rasa duka...

tawarkan penyelesaian

agar duka tidak melarat, biar jauh terasa dekat...






"Duta Penyelamat dan Kasih Sayang"



Selasa, Mei 27, 2008

Konvensyen Dakwah


Di celah-celah kesibukkan berprogram, sempat juga saya mengambil kesempatan untuk ruang blog bayugunung ini. Agak lama untuk saya mengambil masa yang sesuai sebenarnya, tapi kalau diikutkan sangat kesibukan ini, entah bila lagi agaknya ada kesempatan untuk menulis. Sebelum agak terlewat, saya cuma mengambil beberapa 'event' yang agak ringan ringan untuk di postkan kerana cuma perlu mengulas sahaja.



Nah, inilah dia saya sajikan sekadar yang termampu....


Konvensyen Dakwah



Peserta yang Hadir


Cikgu Anuar antara barisan VIP


Majlis Perasmian Penutupan. berasap !



Memugar Idealisme Da'ei Meninjau Senario Global, Melakar Strategi MasaDepan
, merupakan tajuk yang dipilih semepena ulang tahun JAKIM kali yang ke-30.


Antara sahabat-sahabat yang kelihatan iaitu wakil dari Jemaah Islah, Angkatan Belia Islam dan yang selebihnya adalah wakil dari jabatan-jabatan kerajaan.


Kami bertiga

Saya, saudara Khairul Yusri dan Bro Lahirul antara yang dijemput atas nama Yayasan Amal. Penyampai kertas kerja yang pertama iaitu Sdr Ahmad Azam Abdul Rahman sebagai Pengerusi Future Global Network juga sebagai Ahli Majlis Union of NGOs in the Islamic World ( UNIW ) telah membentangkan skop tugasan dakwah yang tidak lagi dibatasi oleh mana-mana halangan terutamanya dari sudut undang-undang.



Sebelum beliau mengulas lanjut, sempat beliau berseloroh kepada hadirin yang hadir


" Mahathir sudah keluar UMNO " kata beliau


agak sukar juga menemukan majlis anjuran kerajaan yang berani berseloroh begitu. Mungkin penangan tsunami politik agaknya



Melalui pengalaman beliau di luar negara, penyampaian pada sebelah pagi memang menarik. antara isi yang baru yang ingin ditonjolkan kepada hadirin iaitu kesinambungan kepada perang salib yang kini sudah memasuki abad yang baru ini.



SOFT WAR & HARD WAR


Antara kedua dua pendekatan ini, soft war adalah pendekatan yang ampuh sekali demi untuk meleburkan umat Islam dari pegangan akidahnya. Istilah lain disebut ' Ghazwatul Fikr '.

Di Barat sana, barisan inteletual telah di siapkan sekemas-kemasnya untuk bercakap tentang Islam mengikut tafsiran mereka sendiri. Universiti Oxford, Universiti Harvard, Universiti Leiden antara institusi besar yang menjadi tempat kepada bijakpandai mereka mengkaji Islam bukan untuk tujuan untuk mencari kebenaran tapi untuk mencari kelemahan. Seterusnya menjajah pemikiran umat Islam.

Di bidang politik pula, kuasa dunia Amerika Syarikat telah memperuntukkan USD 1 Billion setiap tahun untuk membiayai pelbagai program yang dianjurkan oleh NGO-NGO yang kononnya berjuang atas nama kebebasan hak, kebebasan wanita dan macam-macam lagi dan dipopularkan kepada dunia Islam sehingga ke peringkat akar umbi ummat.

Tegas beliau juga, untuk menakhluki dunia Islam seluruhnya, maka dibahagikan nagara umat Islam kepada Mesir, Indo Pakistan dan Indonesia. Dengan menguasai negara-negara umat Islam ini maka tercapailah cita-cita mereka untuk terus menghancurkan Islam dari muka bumi ini.


uhh..saya sudah letih, matapun terasa berat sangat. Cukup sekadar ini dulu





Isnin, Mac 17, 2008

Samb..Mengisi Kemenangan



Lewat PRU ke - 12 kali ini, benar-benar satu tsunami politik yang melanda negara ini. Kejutan yang tak diduga oleh desas desus penganalisis politik semasa. Kemenangan di Kelantan itu rupanya disambut penuh bersemangat oleh Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak hasil kerjasama regu BA

Detik yang mendebarkan sekali, iaitu sewaktu pengumuman keputusan pada hari pengundian pada 8 haribulan. Sebaik saja pihak pembangkang menang secara simple majoriti di Kelantan, ana terus dihubungi sahabat-sahabat dari sana

" Alhamdulillah, Kita dapat perintah Kelantan sekali lagi...takbir"

begitu bunyi mesej yang ana terima


Alhamdulillah..kemenangan yang menjadi penawar setelah hanya tinggal 1 kerusi untuk Islam dikuburkan, meresahkan pencinta-pencinta Islam. Itulah kemenangan, itulah rahmat dari Tuhan untuk diambil pengajaran.


Hukum Tuhan

Berjalanlah di bumi Tuhan ini dan perhatikanlah dengan mata hati, berapa banyak bangsa yang ditenggelamkan Allah swt dalam lipatan bumi, tiupan badai, rekahan bumi dan ditelan air laut kerana sombong. Lupa dengan amanah kepimpinan yang diberikan. Semua di catat oleh sejarah. Apa yang tinggal ? hanya bekasnya sahaja

Bahkan sejarah itu terus berulang, dan peringatan Allah akan tetap menimpa bersama keras hukumnya. Bukankah sifir ini begitu mudah sekali, asal ingkar saja hukuman jawabnya. Asal derhaka seksa balasannya. Mudahnya, sehingga itu manusia mudah lupa.

Ribut Grek baru saja, Tsunami pun begitu. Jauhnya pun bukan di negara Mat Salleh nun jauh di sana. Cuma disebelah saja negara jiran Indonesia. Sedikit tempiasnya di Utara Semenanjung, namun peringatan itu hanya seperti lalat yang lalu didepan hidung.

Setelah Allah mengurniakan amanah kepimpinan, diangkatnya tinggi kedudukan menjadi mulia, kemudian dijatuhkannya dari tempat yang tinggi itu, menjadi sehina-hinanya. Barulah ia Firaun mengaku dirinya hamba setelah taubatnya tidak diterima lagi. Kufurlah ia.Nerakalah tempatnya.

Al quran begitu jelas tentang amanah kepimpinan ini sebagai satu peringatan


Mengisi Kemenangan

Sekalipun kemenangan pembangkang di lima buah negeri di semenanjung, ia juga bererti kemenangan kepada barisan pembangkang di Sabah ini, sekalipun kalah. Ia adalah satu motivasi untuk terus bekerja memburu kemenangan

Ramai bersetuju kemenangan BA kerana faktor pihak BN yang gagal membela nasib rakyat dengan bebanan seperti harga minyak dan harga barang yang menatijahkan penolakan secara senyap oleh rakyat. Selain itu, lonjakan baru dan segar dalam idea pencinta-pencinta Islam merentasi benteng kepartian sekalipun prinsip terus dipegang.

Sebahagian kita sedar akan hal ini. Di Sabah umpamanya, lonjakan ini perlu dibaca dengan teliti agar kaedah dan pendekatan kita sentiasa relevan dengan suasana setempat dan kekuatan lawan. Hal ini memerlukan kita memahami dengan jelas antara prinsip dan kaedah.

Pengisian yang bagaimana untuk kemenangan kali ini?

"terus bekerja bersungguh - sungguh, perbaiki segala kelemahan"...kata seorang sahabat


iya, persoalan ini ada benarnya. Namun ana masih melihat persoalan tersebut masih diperingkat cabang. Mungkin akar masalahnya disekitar persoalan PERSEPSI dan SISTEM

Kedua-dua persoalan ini berkait langsung dengan bagaimana persepsi atau tanggapan penggerak Islam berhadapan dengan dasar sekularis dan pada masa yang sama prinsip Islam terus terpelihara. Manakala sistem pula adalah kerangka gerak kerja yang tersusun untuk mencapai sesuatu idea atau persepsi.

Mungkin persoalan berikut menjelaskan dengan mudah

Persepakatan pencinta - pencinta Islam dengan dasar yang sekularis seperti DAP, Persepsi atau sistem ?..persepsi

HAMAS telah mengubah pendekatannya dengan terlibat sepenuhnya dalam politik, persepsi atau sistem ?..persepsi

Pendokumentasian, pemfailan, pengumpulan data tentang gerak kerja, persepsi atau sistem ?..sistem

Mengubah persepsi tidaklah semudah yang disangkakan. Ia memerlukan kefahaman yang baik dalam soal prinsip dan kaedah dalam Harakah Islamiah, pada masa yang sama menguasai dasar-dasar ilmu sosial. Ia juga hasil komunikasi minda ilmu dengan suasana persekitaran.

Maka fokus kita untuk kemenangan kali ini iaitu pemugaran semula terhadap persepsi kita terhadap suasana dan ruang dakwah yang baru. Pencinta pencinta Islam telah melakukannya diperingkat nasional dan antarabangsa.

Mungkin kita patut melihat semula kader-kader yang kita lahirkan. Adakah selama ini kita hanya melahirkan kader-kader yang hanya tahu tentang sistem. Cukupkah sekadar dia mengikuti semua sistem tarbiah dan cukup sekadar itu. Dari satu sudut, pakar sistem malah memperkukuhkan lagi gerak kerja yang tidak mampu keluar dari persepsi yang jumud. Jika pencinta-pencinta Islam mampu merentasi halangan dasar-dasar kepartian dalam PRU yang ke-12 ini, mengapa tidak tembok kampus ? tembok kesukuan ? tembok kedaerahan ?

Untuk pemugaran semula, maka kita harus kembali juga kepada sistem. Sistem yang merujuk kepada persepsi yang baru dan segar terhadap suasana dakwah. Kembali kepada sistem usrah. Sistem yang mampu melahirkan kader-kader yang punya idea. Bukan hamba sistem.Bukan pula idealis yang tidak mampu mencipta sistem. Kedua-duanya perlu seimbang.


Harga sebuah cinta

Ana sempat juga membantu sahabat-sahabat di Tawau walaupun sekejap saja. Ana terpaksa bergegas pulang ke kampung untuk mengundi di sekolah lama. Sekolah masa ana kecil lagi dari darjah 1 hingga darjah 6.

Pagi Isnin, ana sudah sedia bertolak balik. Namun keghairahan itu, berhenti sejenak. Terasa ada yang tak kena pada wajah emak. Matanya yang berkaca cuba disembunyikan dengan mengemas meja makan di depannya.

Perlahan ana menyentuh kasih bahunya. Emak lantas berpaling, memeluk erat melepaskan empangan air matanya yang di tahan-tahan sejak tadi. Tidak sepatah pun terungkap, tapi ana begitu memahami maksud seorang ibu. Panggilan kepada seorang anak untuk menunaikan tanggunggjawabnya.

Bagaimana harus ana menjelaskan ? bahawa tuntutan perjuangan ini tidak sesekali melupakannya.

Ah..ana bertolak balik dengan ingatan pada kedua-dua wajah yang semakin lanjut di makan usia. Titisan air mata dan lipatan kulit yang semakin dimamah usia semuanya ana simpan kemas di sebalik sebuah senyuman.


Senyuman untuk satu cinta..


Cinta untuk satu kemenangan



Salam Maulidur Rasul






Jumaat, Disember 14, 2007

Bukan Cinta Biasa



Selepas HAMAS

Dari kesibukan kota raya Kota Kinabalu, hinggalah ke dataran hijau sawah padi Kota Belud yang menyejukkan mata memandang siapa saja yang merindukan suasana yang aman dan tenteram. Panjangnya perbualan ana dan akh KY kadang-kadang berselang senyap seketika, terpukau dengan keindahan bumi Kota Belud. Peserta HAMAS yang duduk dibahagian belakang ada yang sudah tenggelam dalam lamunan sendiri. Entah apa yang difikirkan sambil melontar jauh pandangan merentasi sawah padi menghijau ke barisan bukit-bukau yang berbalam-balam jauhnya. Entah bila lagi dapat berpijak di bumi Kota Belud...




Berangkat pulang




" Doakan ana Bun " . Ana memeluk erat akh Bun


" Ya, teruskan perjuangan " . Akh Bun membalas


Sahabat-sahabat yang lain turut bersalaman


Pagi di Terminal Bas Inanam, menarik mata-mata melihat gelagat yang mungkin agak jarang mereka saksikan. Ana, Fairuz dan Ashrul menghantar lima orang sahabat yang akan bertolak pulang ke Sandakan dari Terminal Bas Inanam. Satu kemestian sebelum berangkat jauh, bersarapan bersama sahabat-sahabat merupakan rutin yang mesti dan menyeronokkan. Untuk mengelakkan keadaan kelam kabut, akh Bun dan sahabat-sahabat dari sandakan mesti pulang pada hari ini juga. Baru saja habis HAMAS, sambung lagi Muslim Intensif Training. Betullah, kata seorang sahabiah yang baru saja melangkah kegerbang perkahwinan.." Tiada istilah reh
at bagi seorang da'i"...kata-kata itu masih segar diingatan ana. Tahniah buat ukht dan pasangan.

HAMAS sekurang-kurangnya telah mengubati kerisauan ana akan hambarnya sambutan anak-anak sabahan dalam menggerakkan dakwah dibumi kelahiran mereka ini. Bibit-bibit kesedaran dan kemahuan untu
k melakukan gerak kerja dakwah tampak kelihatan pada wajah adik-adik peserta HAMAS. Ini satu petanda yang baik, tapi perlu ada kesinambungan dalam menyediakan wadah Tarbiah diperingkat PSS atau pihak yang berautoriti. Mesti ada pengisian yang teratur untuk setiap peringkat dan level mad'u. Istilah 'pukul rata' tanpa mengira tahap kefahaman mad'u hanya akan melahirkan petugas dakwah yang separuh masak. Sudah tentu, ideanya pun separuh masak, semangatnya pun separuh hangat. Hangat-hangat tahi ayam lah senang cerita....



Bebaskan Tarbiah

sekali lagi ana ketengahkan, isu label-melabel dengan meletakkan kefahaman dakwah dalam ruang lingkup kedaerahan. Tawau dengan Tawaunya, Sandakan dengan sandakannya dan beg
itu juga daerah-daerah yang lain. Untuk pemfokusan gerak kerja yang lebih sesuai dengan waqe', bekerja mengikut daerah masing-masing memang sangat ditekankan. Pentarbiahan umpamanya mestilah digerakkan bersesuaian dengan suasana masing-masing. Gerak kerja yang terfokus dan Pentarbiahan yang kena dengan suasana, memang sesuai dengan kaedah Tawau dengan Tawaunya, sandakan dengan sandakannya dan yang sewaktu dengannya.

Jadi apa masalahnya ?........


Ana tidak mempersoalkan perlaksanaan gerak kerja dakwah yang selama ini disusun atur oleh Pemuda di peringkat kawasan masing-masing. Malah ana cukup kagum dengan sistem dan perancangan Pemuda walaupun dalam kelengkapan yang serba kekurangan. Bermula dengan unit terkecil seperti usrah, tamrin, seminar, konvensyen hinggalah ke mesyuarat agung semuanya telah lengkap dalam jadual dan mengisi jadual aktiviti tahunan Pemuda dari tahun ke setahun. Namun untuk melihat hasil yang memberikan impak besar diperingkat masyarakat , sekadar melengkapkan jadual tahunan sahaja masih tidak mencukupi. Perlu kita sedari bahawa semua usaha kita akan berfokus kepada undi. Maka persoalan dakwah dan berilmu mesti diperkasakan.

Seiring dengan itu juga, persolan-persoalan yang perlu difikirkan bersama iaitu cabaran pada masa hadapan sekurang-kurangnya 5 tahun akan datang, iaitu perubahan mentaliti masyarakat dan cabaran daripada parti-parti lain. Banyak perubahan yang berlaku dalam jangka masa 5 tahun kebelakangan ini, mendesak kita untuk membuka ruang baru dalam berkompromi dan kerjasama untuk mendepani kelebihan lawan disamping kekurangan yang kita miliki. Masyarakat hari ini tidak akan sama pada 5 tahun akan datang. Apata
h lagi dalam dunia politik, segala-galanya berubah dalam sekelip mata. Jika kita gagal membaca perubahan ini, kita akan canggung berdepan dengan isu-isu luaran pada masa yang sama faktor dalaman mengalami krisis lalu merencatkan gerak kerja Islam.


Setelah kita melihat cabaran yang akan kita lalui, adakah kita masih suka ber
cakaran sesama ahli berbanding berbincang secara baik dan matang? ya, memang berselisih pandangan itu memang satu rahmat. Atau memang sikap kita yang lebih suka menjadi juara digelanggang sendiri. Namun masyarakat diluar tidak kenalpun siapa kita. Sesuailah dengan mentaliti kita, maka sekadar memimpin lajnah sajalah kemampuan kita. Untuk memimpin sebuah negara, jauh lagilah nampaknya.

kita akan berbalik juga kepada tarbiah. ana suka menggunakan istilah "make the things right or The things make right". kedua-duanya berbeza pada "Mahu". Istilah yang pertama mengajak kita melakukan sesuatu berdasarkan apa yang telah digariskan. Manakala istilah yang kedua memberi gambaran tindakan kita berdasarkan apa yang kita mahu daripada apa yang telah digariskan. Dalam isu tarbiah, adakah kita mengaplikasikannya berdasarkan apa yang dimahukan oleh Al Quran atau kita mahu mengaplikasikan Al Qur
an berdasarkan kemahuan kita. Ahh..sudah, apa yang enta mengarut ni...samalah juga seperti mengongkong fahaman tarbiah mengikut kelompok, sempadan dan daerah masing-masing. Ini akan melahirkan peribadi yang sukar menyesuaikan diri diluar lingkungannya.


Cinta Luar Biasa


Dimana-manapun seruan amal Islami adalah pada 'kesatuan'. Kesatuan pada hati, pemikiran dan tindakan. Asas kepada kesatuan ialah kecintaan berdasarkan aqidah dan keimanan. Cinta itulah yang membuatkan Rasulullah menyebut-menyebut "ummati-ummati" walaupun dalam detik-detik
nafas yang terakhir. Tidak hairan dalam hayat baginda membuktikan 'kecintaan' yang luar biasa terhadap dakwah yang mampu merentasi sempadan bahasa dan geografi. 'Cintakan' keadilan dan kesatuan adalah intipati kepada seruan dakwah amal Islami. Ketahanan tubuh badan kita bergantung kepada imuniti. Begitu juga ketahanan dalam gerak kerja bergantung kepada imuniti iaitu 'cinta'. Kita diseru untuk mencintai apa yang tidak nampak didepan mata, iaitu kemenangan yang jauh perjalanannya. Kita diseru untuk mencintai kesusahan dan keperitan. Luar biasa sungguh cinta yang diserukan kepada kita. Ubat kepada keretakkan yang berpunca daripada hati yang hilang rasa percaya, hilang rasa hormat adalah 'cinta'.

HAMAS juga tanda sahutan kita kepada cinta luar biasa. Begitu juga program-program lain yang yang dianjurkan untuk membentuk satu kefahaman fikrah Islam yang kuat. Keghairahan anak-anak sabahan dalam menggerakkan dakwah tidak sepatutnya menghilangkan adab-adab salafussoleh dalam berdakwah. Jika pengangalaman bergerak di kawasan menjadi kelebihan bagi kita, kelebihan itulah yang patut dit
awarkan kepada sahabat-sahabat yang lain. Jika Pengalaman bergerak kerja disemenanjung merupakan keistimewaan bagi kita, maka keistimewaan itulah yang seharusnya menjadi satu tawaran kepada gerak kerja di kawasan. Jambatan yang menghubungkan antara keduanya adalah persefahaman yang diikat dalam satu 'cinta'.





Bersama Ustad Nik Abduh


Pertemuan dengan Ustaz Nik Abduh begitu memaknakan lagi erti cinta dalam dakwah. Seingat ana bertemu dengan Us Nik Abduh hanya sekali sahaja ketika mengikuti satu kursus. HAMAS telah mempertemukan kami sekali lagi dalam suasana seperti seorang sahabat yang sudah lama tidak ber
temu. Sesekali pesanannnya supaya cari "oghe klate" melintas difikiran.

Pulau Melaka dan Tawau adalah dua tempat yang begitu jauh jaraknya, tetapi bertemu dan dikumpulkan di bumi Kota Belud. Tidak mustahil atas nama 'cinta'.Kata Prof HAMKA " cinta itu seharusnya membina kekuatan, bukannya yang merosakkkan".


Yang penting, cinta kita cinta perjuangan. Kerana itu, cinta kita bukan cinta biasa....
















Free Blogger Templates by Isnaini Dot Com and Real Estate. Powered by Blogger