Selasa, Oktober 30, 2007

Mencari Kebebasan



Uuh…semua sendi-sendi terasa lenguh..



Sepanjang berada diatas bas, ana tidak dapat mencari posisi yang sesuai untuk tidur selesa. Tengkuk dan bahagian belakang badan yang paling terasa sekali seksanya…kejang


Sudah sejam ana menunggu penuh sabar kedatangan akh KY. Ramai juga yang masih menunggu kenderaan masing-masing di Terminal Bas.



Itu dia…sampai juga akhirnya



Leganya...rasa seksa lenguh dan kejang selama 8 jam perjalanan dari Tawau ke Kota Kinabalu hilang beransur-ansur melihat beliau dari jauh bersalaman dengan beberapa pelajar UMS yang ana tak berapa kenal.


Entah apa rahsia beliau. Luruh semua rasa lenguh dan kejang.


Esok, baru ana bertolak ke Labuan



Kalau bukan subjek yang ‘kandas’, belum terlintas difikiran untuk berpijak semula di bumi Labuan. Ana seperti tidak mahu menerima kenyataan bahawa ana merupakan pelajar Kampus Antarabangsa Labuan. Sedikit saja yang mengingatkan tentang labuan, iaitu beberapa orang sahabat yang masih menuntut disana. Selain itu, labuan seolah-olah hilang dari memori ingatan ana…..berat sungguh hukuman ana keatas bumi labuan.



Monolog



Sejak di tahun ke-2 pengajian lagi, ana sudah membawa lari perasaan ana jauh dari suasana pembelajaran di kampus ini. Keinginan untuk mencari kemulian budi pekerti melalui proses pembudayaan ilmu yang sebenar, bertukar tempat dengan rasa bosan dan hilang rasa ghairah.


Banyak persoalan sebenarnya yang ana fikirkan…


Pertama, apakah benar system dan suasana yang wujud benar-benar menghasilkan produk manusia yang berfikir?


Kedua, jika disiplin ilmu yang memanusiakan manusia benar-benar diamalkan, kenapa hasil dan produknya tidak seperti yang sepatutnya? Bukankah tujuan akhir kepada ilmu iaitu akhlak dan keinsanan ?...


Lama ana merasakan kejanggalan yang berlaku ini.


Buku ‘budaya ilmu’ karangan Prof Syed Husein Alattas telah telah menjelaskan segala-galanya. Beliau menjelaskan bahawa, kebanyakkan institusi pengajian tinggi sekarang lebih mementingkan agenda pembelajaran bersifat komersial semata-mata. Pasaran menjadi kayu ukur berkualitinya seorang graduan atau tidak. Betul pada sesetengah tempat sahaja, secara keseluruhannya tidak boleh diterima. Bagaimana dengan soal pasak dan sendi dalam kehidupan manusia seperti keadilan, budaya dan nilai ?


Apalah makna segulung ijazah, kosong daripada nilai berfikir, buta minda dan lemah dari sudut kejiwaan. Akan beginikah nasib ana akhirnya ?




Bertemu Jawapan



Akhirnya, minat ana terluah kepada buku-buku ilmiah, diskusi-diskusi ilmiah dan laman web-laman web yang banyak berbincang dan membongkar erti kebenaran. Betul, kebenaran adalah matlamat akhir kepada proses pembelajaran dan pembudayaan ilmu. Kebenaranlah yang mengenyangkan minda, membangkitkan kemahuan dan meneguhkan pendirian. Suasana pembelajaran yang tidak menunjuk jalan kepada kebenaran, hasilnya rapuh dan mudah berbolak balik.


Ana tidak rela. Menggadai kebenaran dengan buta minda bermakna menjual kemuliaan seorang insan dengan kejahilan yang dihormati. Tidak mungkin…


Mungkin tidak ramai yang mahu memilih apa yang tinggi dan mulia, kerana sifat ambil mudah dan jalan singkat yang sudah mendarah daging.


Melalui 3 tahun pengajian begitu mudah dengan hanya mengejar nilai diatas kertas semata-mata, kerana hanya perlu membebankan otak hanya pada satu sudut sahaja. Bagi yang sedar bahawa tujuan menuntut ilmu adalah proses membentuk celik minda dan kemahuan yang tinggi untuk merubah suasana kepada yang lebih baik, nilai diatas kertas adalah perkara kedua penting.



Kebebasan…



Ya…ana mesti membebaskan minda ana daripada dikongkong oleh budaya yang wujud disini. Budaya yang memandulkan minda.


Jarang benar terdapat kuliah – kuliah yang mencetuskan satu penemuan baru dalam pemikiran. Yang ada hanyalah pelampiasan maklumat dan fakta sahaja. Pelajar didoktrinkan dengan kata-kata yang rendah nilai . kritikan dianggap kurang ajar. Sebahagian besar ahli akademik terlalu menjaga status quo, sehingga mematikan budaya penetasan idea oleh pelajar.



Cukuplah sekadar itu sahaja. Waktu zohor sudah masuk


Selasa, Oktober 23, 2007

Jom Raya...

Hari Raya Pertama


Seawal pagi lagi, laungan takbir mengagungkan dan membesarkan Allah berulang-ulang di alunkan oleh jemaah masjid di pagi satu syawal. Alunan takbir hari raya yang menyentuh perasaan, menceriakan suasana pagi raya bercampur sayu.


Selesai khutbah Aidilfitri, kami sekeluarga berkumpul bersama, mengambil kesempatan untuk bermaaf-maafan. Seperti biasa emak akan menitiskan air mata, sebaik saja anak-anaknya mencium tangannya dan mendakapnya sambil memohon maaf. Hati seorang ibu, tersentuh melihat anak-anaknya yang jarang berkumpul bersama, semuanya ada disamping di pagi hari raya. Tidak dapat dibendung lagi air mata emak, satu demi satu anak-anak yang dibesarkannya mencium tangannya, memohon maaf dan mendakapnya. Bagi emak, itulah hadiah pengubat hati yang terbaik buatnya setiap kali syawal menjelma.




Hari Raya Ke-2



Kalut…cemas…risau



“sesat dimanalah agaknya anak dara 3 orang tu” ana kerisauan seorang diri


Setahu ana, ketiga-tiga mereka tidak pernah walau sekalipun pernah sampai ke area Bukit Quoin ni. Sambil memecut laju kereta proton saga kelabu, ana mengamati betul-betul setiap kereta yang berselisih dengan ana. tidak satupun….



“ salman kau di mana? Mereka sudah sampai dirumah ni” kata abang ana dalam telepon



“Eh, betulkah? Tanya ana kehairanan. Macamana pula diorang boleh tahu jalan masuk ke rumah ana. ish..ish..ish


Walaubagaimanapun, berita tersebut sudah membuatkan ana lega dan kembali tenang. Sampai nanti, ada perkara yang mereka bertiga perlu jelaskan.



Allah ! cepat-cepat ana turunkan hand brake kereta.



Dalam kelam kabut tadi, bercampur risau dan bimbang ana terlupa turunkan hand brake kereta. Patutlah ada bau macam benda hangus terbakar.


Di luar perkarangan rumah, ana dapat melihat dengan jelas Ukhti Nik Safilah, Suliani dan Zulaisyah sedang berborak dengan emak ana. Selepas solat maghrib, barulah kemusykilan yang membuatkan ana berasa cukup risau terjawab. Mereka sebenarnya pergi beraya di rumah datuk kepada ukhti Suliani di kampung sebelah. Jadi mereka singgah sekejap beraya dirumah ana. Mungkin itulah sebabnya beliau sudah biasa dengan jalan menuju ke kampung ana.




Hari Raya Ke-3


Hari ini ana beraya jauh sedikit. Pagi lagi teman serumah, ust Mohd Azam menghantar mesej mengajak ana pergi beraya di rumah Bro Zakaria.


Kebetulan pagi itu seorang lagi sahabat, Hardi, sudah merancang beraya di sekitar Bandar Tawau. Ana tumpang sekali, sambil beraya dirumahnya. Berbanding tetamu lain, mungkin analah orangnya yang tak terkira berapa kali ana datang bertamu.



Kg Table, Kg Titingan, Masjid Raya adalah antara lokasi yang menjadi sasaran kami. Letihnya, beraya sampai ke maghrib menjadi sebab yang paling mujarab melelapkan mata seawal pukul 9 malam.




Hari Raya Ke-4


Seperti hendak menghantar rombongan meminang pulak. Tapi adik perempuan ana kecil lagi.


Inilah konvoi beraya yang tidak pernah disaksikan oleh penduduk kampung ana. 5 buah kereta berisi padat dengan penumpang yang siap siaga menyerbu ke rumah ana. Dah macam sardin ana tengok mereka semua. Demi semangat ukhwah dan berziarah, sardin pun sardin lah. Terharu ana dibuatnya.




Terpaksalah mereka duduk rapatkan saf. Duduk rapat-rapat. Rumah ana kecil saja. Ruang dapur rumah lagi besar daripada ruang tamu.


Ana dimaklumkan hanya 12 orang yang akan datang beraya. Diketuai oleh akh KY, selainnya adalah junior PJ8.




Terkejutnya…




Hampir 20 orang semuanya termasuk batalion Unit Amal diketuai oleh Burhanudin ataupun biasa dipanggil bubu’.

Kedatangan mereka pada malam itu dijamu dengan sup saja dan kuih muih yang tak seberapa.

Khamis, Oktober 11, 2007

Perutusan Aidilfitri




TN. HJ MUHAMMAD ABDULLAH
PESURUHJAYA PAS SABAH.





Saya dan saf kepimpinan PAS Sabah ingin mengucapkan hari raya maaf zahir dan batin kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat, moga-moga semuanya berbahagia bersama anak-anak dan ahli keluarga yang tercinta.
Kita sebagai umat Islam sewajarnya sentiasa bersyukur kepada Ilahi atas kurnia dan nikmat-Nya selama ini yang telah memberi kepada kita kekuatan jasad dan jiwa untuk menyempurnakan ketaatan dan ibadah dalam bulan Ramadan. Hari Raya atau hari kemenangan yang kita raikan bersama amat wajar dinilai dengan neraca iman dan penuh kejujuran. Adakah kita telah benar-benar menang? Adakah kita telah benar-benar kembali kepada fitrah asal sebagai hamba Allah? Atau kita masih lagi diulit atau dijajah oleh nafsu, syaitan, serta kebendaan dunia yang dimegahkan.
Sempena syawal ini, marilah kita membuka minda dengan penuh keimanan untuk melihat roh amalan Islam bukan hanya bersinar tatkala bulan Ramadan sahaja. Pengamalan amal Islami wajib dilakukan sepanjang usia dan hayat kita. Gerak kerjanya perlu dilakukan secara bersama-sama bagi menobatkannya di bumi ini dalam semua sudut dan lapangan kehidupan. Marilah bersama dengan perjuangan kami bagi membawa suara Islam agar bergema di DUN Sabah. Amin Ya Allah.
Allahhu Akhbar...Allahhu Akhbar...Allahhu Akhbar...


Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Dan Batin








EN. MOHAMAD HUSAIN
Yang Dipertua PAS Kawasan Tawau




Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri yang mulia, diucapkan khusus kepada semua umat Islam yang dikasihi sekalian. Pada lebaran yang mulia ini, saya mewakili seluruh barisan kepimpinan PAS Kawasan Tawau ingin mengambil peluang ini untuk menghulurkan salam persaudaraan, memohon seribu kemaafan atas apa jua kekurangan pada pihak kami. Pada lebaran ini juga, saya memohon kepada Allah s.w.t agar kita semua sentiasa sihat walafiat bersama ahli keluarga yang tercinta, bergembira menyambut syawal yang mulia. Pada saat kita bergembira menyambut lebaran ini, jangan pula kita melupakan saudara seIslam kita di bumi Iraq, Palestin, Chechnya, Bosnia, Afghanistan, Darfur, Pattani Thailand dan Mindanao yang turut dihimpit derita dan sengsara. Pada saat kita bergembira berpakaian serba baru, tidak pula melupakan kita kepada si fakir miskin yang tidak ada tempat berteduh.Pada saat kita bergembira menyambut Syawal, jangan sampai kita terlupa, nasib umat Islam di negara yang kita cintai ini. Bagaimana dengan angka murtad, rasuah dan penyelewengan, rogol, pembunuhan, agihan zakat yang tidak telus serta masalah sosial yang semakin hari semakin parah. Oleh itu, saya mengajak warga Tawau agar menghayati makna ‘kemenangan’ yang menjadi mahkota, selepas perjuangan selama sebulan menahan lapar dan dahaga di bulan Ramadan. Untuk itu, kita perlu membebaskan diri kita daripada tambatan nafsu yang membutakan mata hati, agar kita semua kembali kepada fitrah yang suci dan bersih.
Allahuakbar, Allahuakhbar, Allahuakhbar, Walillahilhamdu.



SDR. MUHAMMAD NASIR ALI
Ketua Pemuda



Saya mewakili kepimpinan Dewan Pemuda PAS Kawasan Tawau ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam Di seluruh dunia. Marilah kita menggunakan ‘ ruang kemenangan’ anugerah Allah swt dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya. Sedapat mungkin, kita wajar menghindari hari kemenangan daripada dinodai oleh tangan-tangan kita melalui amalan-amalan serta tindakan yang bersalahan dengan syariat Allah s.w.t. Makanan, minuman, pakaian, serta amalan ziarah biarlah mengikut sendi-sendi syariat Islam. Hindari amalan membazir, pergaulan bebas, hiburan melampau yang tidak menjadi budaya dalam Islam. Moga-moga hari raya yang kita lalui bersama akan menjadikan kita makin tertaut ukhuwah Islamiah dan sentiasa berkasih-sayang serta beriltizam untuk membawa obor perjuangan di bumi Tawau ini demi Islam kerana Allah swt.
Allahhu Akhbar...Allahhu Akhbar...Allahhu Akhbar...












Di Ambang Syawal


Abg Die dan Cikgu Nasir sedang bertaklimat

Inilah aktiviti hari - hari terakhir di bulan Ramadhan di Tawau. Sejak jam 2 petang lagi sahabat-sahabat Unit Amal sudah berkumpul di Pejabat Perhubungan.

Majlis Taklimat edaran risalah Aidilfitri di pengerusikan oleh Naib Ketua Pemuda Kawasan Tawau iaitu Abg Die. beliau kemudian menyerahkan majlis kepada Ketua Pemuda untuk taklimat selanjutnya. Di majlis itu jugak disempurnakan pembahagian zakat oleh Ketua Pemuda.




" kita jangan bersedih jika hanya segelinitr saja yang sudi datang pada petang ini.... " . kata cikgu Nasir memberikan kata-kata nasihat kepada yang hadir.




" Anggaplah, ketidakhadiran sahabat-sahabat yang lain, sebagai memberikan ruang dan peluang yang besar untuk kita yang hadir merebut sebanyak pahala dan kebaikan pada petang ini..." . sambung cikgu Nasir dengan penuh semnagat.











Lipat cakki', jangan tak lipat (kopiah ungu)




Suasana di pejabat agak ceria. Cakki, Tuo, Tamrin, Hanafi, Paklan, antara wajah-wajah yang sentiasa kelihatan dimana saja ada aktiviti Pemuda. Boleh dikatakan, Unit Amal merupakan tulang belakang kepada setiap aktiviti Pemuda, walaupun kebanyakkannya bekerja dibelakang tabir.


Sambil melipat kertas edaran, sesekali berderai juga ketawa memecah ruang pejabat. Mana tidaknya, dalam banyak-banyak ahli Unit Amal, terselit dua tiga orang yang mampu membuat lawak antarabangsa.Tahap cipan pun ada.

Edaran Tamat...Jom balik !

Edaran tamat lebih kurang pada pukul 5 petang. Pada sebelah malamnya, qiam perdana Pemuda dan Kawasan bertempat di Kg Tg Batu Laut. Ana tidak dapat menghadirkan diri walaupun sudah merancang awal....masalah teknikal.

Bersurai.....


Selasa, Oktober 09, 2007

Hari-hari terakhir di bulan Ramadan





Warga SMIT menghabiskan sisa akhir Ramadan dengan menganjurkan pertandingan Takbir Raya.

sayunya takbir pelajar-pelajar ni. Terasa benar Syawal hampir tiba. Ramadan kian ke penghujung.






Sabtu, Oktober 06, 2007

Konvensyen Dakwah


Hari ketiga


“ Berjuang menempuh susah, menanggung derita menongkah fitnah” … lembut suara nazrey mendendangkan lagu sunnah berjuang.

Mata semakin jauh melepaskan pandangan kearah bangunan tabung haji. Tempat berlangsungnya Konvensyen Dakwah kali ke dua.

Ah…panjang sungguh perjalanan balik ke Tawau….

Dari tingkap bas JAKIM, ana dapat melihat dengan jelas gelagat peserta – peserta konvensyen yang sibuk memunggah beg masuk ke kenderaan masing – masing. Ada yang sempat melambaikan tangan kearah kami, delegasi yang paling jauh datangnya. …kami membalas dengan senyuman terima kasih.


Konvensyen Dakwah Kali ke – 2 yang diadakan di Dewan Besar Tabung Haji Kota Kinabalu telah berjaya mengumpulkan lebih kurang 1oo orang peserta muslimin dan muslimat dari seluruh sabah. Program anjuran JAKIM ini merupakan aktiviti tahunan yang akan dijadikan platform untuk mengumpulkan petugas dakwah seterusnya meningkatkan lagi usaha – usaha membawa Islam ke seluruh pelusuk Sabah. Begitulah harapan Pengarah JAKIM pusat ketika perasmian penutupan Konvensyen Dakwah.



Hari pertama


Menjadi wakil Pemuda ke Konvensyen Dakwah kali ini memang suatu yang tak disangka – sangka. Sejam sebelum bertolak, ana mendapat mesej daripada Dewan Pemuda meminta untuk berkumpul di Masjid Al Kauthar. Dengan sehelai sepinggang, selamba saja ana menaiki motor tanpa mengetahui tempat konvensyen dakwah diadakan. Ana memang tidak dimaklumkan.

Sampai di Masjid, dari jauh lagi kelihatan cikgu Kadarisman bersama ahli keluarganya duduk berkumpul di depan tempat mengambil wuduk lelaki. 2, 3 orang anak – anak kecilnya berkejar – kejaran di sekeliling. Ana melambainya dari jauh…

“ Di mana konvensyen ni cikgu ? ringkas ana bertanya

“ Di k.k “

Jawapan yang ringkas itu terus mematikan soalan ana yang seterusnya….

Nak balik ambil baju dan seluar, takut bas bertolak..aah susah – susah, redah sajalah labu. Sampai di K.K nanti baru fikir….

Tepat pukul 7. 30 bas pun bertolak, ana masih termangu-mangu mencari jalan penyelesaian. Mengikut teori, manusia akan lebih kreatif dalam keadaan terdesak. Betulkah ?


Selepas 10 jam perjalanan, akhirnya sampai juga kami di Hotel Penginapan, Tabung Haji. 2 jam lewat daripada perjalanan biasa menaiki bas ekspress dari Tawau – K.K. Delegasi Tawau adalah peserta yang terawal sekali sampai. Peserta lain dijangkakan sampai pada sebelah petang.

Pendaftaran dan taklimat akan berlangsung pada sebelah petangnya. Sebelum sampai tadi, ana sempat mengirim mesej kepada akhi KY mintak ambil disini. Lewat Petang, ana keluar dari hotel penginapan bersama akh KY menaiki motorsikal. Destinasi kami yang seterusnya iaitu Pasar Pelipin untuk berbuka puasa.

Berbuka di Pasar Pelipin, keadaannya masih seperti dulu. Menghidupkan kembali kenangan sewaktu ana dan akh KY bergelar ‘pimpinan kampus’. Akh KY masa itu sezaman dengan zaman pemerintahan ana. Bezanya, ana di Labuan, beliau di K.K…
Pasar inilah menjadi lokasi yang popular bila ada saja masa terluang, ataupun selepas berprogram di sekitar K.K bersama beberapa orang sahabat … diselangi gurau senda, kami lupakan sekejap tanggungjawab sebagai pelajar dan petugas dakwah. Itu dulu, Kali ini cuma kami berdua sahaja menikmati juadah berbuka puasa. Lokasi yang sama, imdividu yang sama tapi suasana yang sudah jauh berbeza. Namun tetap ceria, bercerita tentang masa silam memang banyak perkara yang melucukan. Bertapa ‘idealnya’ kami sewaktu bergelar ‘pimpinan kampus’ dulu.



Hari kedua

Kami bersolat jumaat di Masjid Negeri. Sejak meninggalkan kampus hampir 5 bulan yang lalu, banyak cerita yang hendak dikongsi. Pengalaman bergerak di kawasan memang jauh berbeza berbanding di alam kampus. Bergerak di peringkat kawasan benar-benar menguji setiap inci tarbiah yang dimiliki para petugas dakwah kelahiran kampus. Sudah biasa kedengaran, kader-kader kampus hilang dari radar bila melangkah keluar dari alam kampus. Puncanya, mungkin tidak pernah terdedah ataupun didedahkan dengan keadaan waqi’ diluar.

Jika faktor pendedahan menjadi punca, maka perlu ada langkah segera untuk penyelesaian. Membawa maklumat dari luar ke kedalam sebagai langkah terbaik memantapkan pentarbiahan kampus. Setakat ini, IMBOS dan PSS merupakan badan yang dipertanggungjawabkan untuk mengumpulkan semula kader-kader kampus. Kelancaran gerak kerja IMBOS dan PSS adalah petanda baik kepada berfungsinya kader – kader kampus diperingkat kawasan.



Mencari kesatuan

Persatuan Siswazah Sabah ( PSS ) dan Ikatan Mahasiswa Borneo Semenanjung ( IMBOS ) merupakan dua platform yang biasa digunakan untuk menggerakkan aktiviti tarbiah dan juga wadah untuk penyatuan aktivis seluruh sabah. Seperti juga disemenanjung, terdapat banyak badan badan persatuan yang ditubuhkan mengikut fungsinya dalam setiap segmen waqi’ – dakwah. Dakwah dan bentuknya perlu diselitkan disetiap ruang dalam kehidupan kita. Jika kita terlepas pandang pada satu sudut, membiarkan satu sudut kosong tanpa unsur dakwah, kejahilan dan kebatilan akan tumbuh dan menghalang kerja – kerja dakwah, menimbulkan fitnah kepada para da’e itu sendiri.

Ketika jadual mesyuarat AJK Kawasan sudah di tetapkan, dengar khabarnya satu mesyuarat Persatuan Siswazah Sabah akan diadakan di Bandar Tawau ini. Memang ana dan beberapa orang lagi sahabat dalam AJK tidak dapat menghadirkan diri kerana pertembungan tersebut. Tapi kami masih sempat meluangkan masa menghadiri Ijtimak PSS sebelum pergi ke mesyuarat AJK Kawasan.

Dengar khabar, Ijtimak PSS agak panas sedikit, ada sebilangan ahli yang tidak bersetuju dengan beberapa perkara tentang perkara dalaman PSS. Hal begini tidak menjadi soal, bahkan mendengar pelbagai pandangan dari pelbagai pihak perlu untuk memantapkan lagi gerak kerja. Apa yang merisaukan, iaitu penerimaan kita tentang wujudnya pelbagai organisasi dalam persekitaran dakwah. Kerisauan kepada berlakunya pertembungan, pertindihan, seterusnya mengundang rasa menolak akan kewujudan tersebut. Mahu tetap mahu, tapi kalau boleh semuanya mesti memfokus kepada satu – satu peringkat sahaja. Barangkali begitulah yang ingin disampaikan kepada ahli PSS yang baru setahun jagung dalam reality kawasan.

iya, diakui bahawa inilah yang merisaukan, sedangkan kawasanpun tidak cukup tenaga kerjanya. Banyak aktvitinya …

Jika kita melihat pertumbuhan organisasi dakwah ini seperti susunan batu – bata yang terpaksa dibina satu persatu, maka kita akan melihat bangunan dakwah yang kita bina bersifat keras membatu, sukar menerima perubahan. Untuk menambah ataupun mengurangkannya begitu susah, perlukan kekerasan agaknya. Perlukan kerahan tenaga yang banyak, sedangkan hasilnya tidaklah berbaloi. Sistematiknya suatu system bukan pada bentuk kerangka luarnya, tapi dari sudut pengurusan dalamannya.

Kerangka luar yang ‘mesra – alam’ akan begitu mudah menyesuaikan diri dengan suasana. Jalinan yang baik dari aspek luaran dan dalaman akan mencipta sebuah gerak kerja yang hidup dengan waqe’nya, bersistematik dalam pengorganisasiannya. Kreatif kuncinya.

Berfungsi diantara kawasan dan alumni IPT, PSS ada tempatnya sendiri. Tidaklah menjadi kerisauan bila kita sudah memahami tingkat awlawiyatnya. Disini kita akan melihat satu rantaian organisasi dakwah yang bersambung antara satu sama lain, sistemnya tetap berkait mengikut kapasiti yang ada.

Adakah ini suatu yang terlalu ideal ? selagi mana kita percaya, organisasi Islam mampu meredah zaman, selagi itu kita mampu mencipta gerakkerja yang menggerunkan pihak musuh…..

…..” kekalahan itu ialah disaat kita mula merasai kekalahan”

Mudah – mudahan ijtimak PSS tidak seburuk yang kita tidak inginkan. Malah sebaik yang kita impikan. PSS yang agak merangkak kelajuannya, perlukan lebih toleransi untuk terus membangun, bukannya kerisaun yang membantutkan dan merencatkan. Ana harap begitulah….

“ tet, tet “…bunyi isyarat panggilan masuk. Ana terus mencapai handset.

“ En. Salman, kami AJK Konvensyen Dakwah, En kene balik sekarang, jika tidak kami akan keluarkan nama encik dari senarai nama peserta “ Tegas ajk tersebut

Ana bingkas bangun. :” Y, hantar ana balik Tabung Haji”

Deruuuum ! mendesup akh KY bawa motor. Biasalah, mat rempit……….



Jumaat, September 28, 2007

Selepas Tarawih...



“ man, kau jadi imam ya ? pelawa bro zaki

“ dimana bro ? ana bertanya

“ Kolej jururawat”….

“ InsyaAllah “….



Esoknya, surat jemputan jadi imam Tarawih sudah terletak diaras meja guru lelaki SMIT. Sehari selepas itu, datang pula surat jemputan menjadi Imam Tarawih di PASTI Taman Semarak. Keduanya ditujukan kepada ana, daripada setiausaha Muslimat cawangan Taman Semarak. Nampaknya, terpaksalah tangguh balik kampung hujung minggu ni. Ana tidaklah keberatan menerima pelawaan menjadi Imam, sedikit pengalaman masa dikampus menjadi Imam Tarawih memberikan suntikan keyakinan…

Sehari sebelum jadual ana, seorang lagi Imam jemputan yang tidak asing lagi di bumi Tawau ni, beliau ialah cikgu Roslan Ramli. Beliau minta tolong ana jadi bilal solat yang beliau imamkan. Ana ok saja.

Selepas bersungkai, ana terus ke Taman Semarak yang mengambil masa lebih kurang 15 minit dengan menaiki kenderaan.

Kami hanya mendirikan tarawih sebanyak 8 rakaat saja. Selepas solat witir, tazkirah pula menyusul dipimpin oleh cikgu Roslan sendiri, abang kepada ukhti Norbety. Sambil menjamu sedikit moreh, topik perbualan bermula daripada sesi ta’aruf sampailah kepada isu-isu politik tanah air, memesrakan imam dengan makmun yang sebahagian besarnya orang-orang tua yang sudah separuh umur.

Mulanya, ana tidaklah berminat sangat mengikuti gurau senda orang-orang tua ni. Biasalah, ada saja idea nak kenakan orang bujang. Kadang-kadang, sampai kutu mati..eh, mati kutu ana dibuatnya.


Sampailah kepada isu politik, perbualan nampak agak rancak sedikit. Ana mula mengikuti perbualan yang sudah beralih arah. Ana dapat membaca riak kerisauan pada air muka orang-orang tua bila saja masuk bab politik. Entah apa yang dirisaukan. Politik bagi mereka, penuh dengan tipu daya. Itu hanya kerja orang besar-besar. Tiada kaitannya dengan agama…


Tanggungjawab siapa..

Jika fahaman politik masih tidak difahami oleh rakyat biasa, rasanya masih sukar bagi PAS untuk menyampaikan mesej daripada pimpinan pusat. Jika hanya mengharapkan pimpinan pusat yang turun sekali sekala, proses penyampaian maklumat agak terlambat dan terputus-putus. Isu-isu yang hangat sudah jadi sejuk. Method penyampaian juga memainkan peranan penting. Perlu sesuai dengan budaya ataupun waqe’ setempat dan sasaran mad’u di sabah. Dan kebanyakkan isu yang disentuh, lebih kepada suasana di semenanjung.

Isu-isu disabah ini masih kurang dibicarakan samada oleh aktivis sabahan sendiri. Jika kupasan isu dibuat perbandingan antara semenanjung dan sabah, kupasan isu di Sabah masih nampak umum dan kurang mendetail. Isu-isu seperti masalah kad pengenalan, isu perkauman, kayu balak, rasuah dan lain-lain lagi walaupun dengarnya sudah agak kronik sejak lama dulu, masih tidak mampu dijadikan ‘senjata pemusnah’ bagi pihak pembangkang. Pihak pembangkang masih belum ada pendirian berkenaan isu kad pengenalan, belum ada bukti konkrit berkenaan penyeludupan kayu balak. Mungkin sudah ada, tetapi mengambil langkah sangat berhati-hati. Ana yakin jika pihak pembangkang sudah jelas dari segi ‘stand’ dan tindakannya, isu-isu ini mampu menggegarkan pentas politik sabah.

Barangkali, kita tidak boleh terlalu ‘generalise’ soal isu antara semenajung dan sabah. Sabah ada sebab musabab yang tersendiri, samada ia berkaitan soal budayanya, corak pemikirannya atau ‘something’ berkenaan aktivisnya...kata albanaspelek “ something rotten in the state of Denmark” ( betulkan kalau salah )

Secara umunya, perkara yang perlu dilihat dan perlu disedari oleh aktivis Islam di sabah ini ialah kesediaan untuk turun ke medan menyelami kehidupan masyarakat sehingga kelapisan masyarakat terbawah sekali. Mereka yang selayaknya dan lebih patut memikul amanah ini tidak lain tidak bukan golongan lepasan universiti. Bukannya sedikit lepasan universiti dari sabahan ini. Dalam IMBOS dan SENTELUK berlonggok cerdik pandai dan intelek sabahan. Soal kualiti ? terpulang pada pandangan masing-masing. Menilai kualiti itu dari sudut siapa. Adakah dari kaca mata orang kampung ana yang hanya melihat ‘cemerlang’ bila punya kereta dua, tiga bijik. Punya gaji 3, 4 ribu sudah selesa. Kata sahabat ana khairyjunoh, biarlah ada gaji 3,4 ribu, keta 2,3 biji yang penting terlibat dengan perjuangan Islam. Betul, ana sokong 200% !!!.

Zon selesa masih ditahap memuaskan agaknya. Masih selesa mentarbiyah golongan dan kelompok tertentu sahaja. Mungkin alasan yang sering digunakan iaitu kita hendaklah bekerja mengikut kepakaran dan bidang masing-masing. Alasan ini memang ada logiknya, tapi bukan dalam semua keadaan. Kalau kepakaran yang memang sudah ditentukan seperti jawatan-jawatan dalam jamaah, itu memang perlu diutamakan. Tapi dalam soal berfungsi diperingkat kawasan dan turun kepada masyarakat, masih kurang mendapat sambutan dikalangan golongan intelek sabah. Wujudkah tembok antara masyarakat dan aktivis Islam sabahan? Mungkin ya, mungkin tidak. hakikatnya, masyarakat belum lagi berapa kenal wajah-wajah aktivis Islam yang sepatutnya dibarisi oleh golongan intelek sabahan. Tahniah kepada aktivis Islam dari semenanjung, dimana bumi dipijak disitu Islam dijunjung.

Soal ilmu perlu diterjemahkan dalam bentuk yang mudah dan sesuai dengan level pemikiran mad’u. Soal kefahaman mesti di aplikasikan dalam bentuk aktiviti dan tindakan yang sesuai dengan suasana setempat. Jika tidak, aktivis sabahan akan terus selesa berbahas dengan kelompoknya sahaja, sedang masyarakat disekitarnya terus kelam dan tenggelam dalam kejahilan. Jauh lagi kesedaran politik dirasai oleh masyarakat di peringkat akar umbi. Kerana golongan cerdik pandainya belum bersedia, menempuh cabarannya dan kesulitan yang bakal menduga.

Jumaat, September 21, 2007

Tetamu Agung dan Tuan Rumah...

“ Tit, tit …Mesej baru diterima. “ Ops risalah Ramadhan pukul 3 petang. Berkumpul di Pejabat. Begitulah bunyi arahan daripada Ketua Pemuda kawasan Tawau. Cepat-cepat ana siapkan rekabentuk grafik blog yang sudah separuh siap. Jam di dinding bilik guru lelaki SMIT sudah menunjukkan pukul 2.30 petang.

Sebelum turun ke bandar Tawau petang itu, sempat juga merasa cempedak pemberian guru-guru muslimat SMIT…turun di stesen bas, kena berjalan kaki selama 15 minit untuk sampai ke Pejabat Perhubungan PAS yang terletak di kawasan Fajar.

Di pejabat perhubungan sudah riuh dengan kehadiran beberapa sahabat-sahabat Unit Amal, Nisa’ dan guru-guru PASTI. Masing-masing sibuk dengan hal sendiri. Ana terus ke bilik Pemuda Kawasan. “ Assalamualaikum”...sambil menghulur salam kepada Ketua Pemuda dan sahabat-sahabat Unit Amal.” Waalaikum salam”..jawab semua serentak.

Edar Risalah

Petang itu, kami turun padang dengan mengedar jadual berbuka puasa dan risalah Ramadhan di sekitar bandar Tawau. Masa yang dikira sangat sesuai kerana puasa akan jatuh pada hari khamis, iaitu sehari sebelum masuk bulan Ramadhan. Masing-masing dikalangan kami semua memegang risalah yang siap untuk diedar kepada sesiapa saja yang ditemui. Kumpulan muslimin berpecah kepada dua kumpulan dan muslimat dalam satu kumpulan saja. Keghairahan jelas terpancar di wajah masing-masing, tak kurang juga yang agak risau tapi masih dapat dikawal. Sambil memberi salam kepada setiap yang ditemui, kami menghulurkan jadual berbuka puasa dan risalah Ramadhan.

Macam-macam karenah makcik-makcik dan pakcik-pakcik yang kami temui. Ada yang selamba saja, ada yang terkejut, ada pula yang teragak-agak. Kombinasi lupa dan tak sedar, rupanya puasa tinggal sehari lagi…

Melihatkan respon yang tak disengajakan itu, ana berfikir sejenak ..alangkah malangnya si tuan rumah, tetamu agung yang bakal berkunjung tiba semacam tidak disedari kedatanganya. Bukan sekali atau jarang-jarang kedatangannya tetapi berulang setiap tahun.

Jadual berbuka puasa itulah agaknya yang menyentak ingatan mereka yang kami temui, baru tersedar puasa akan bermula sehari lagi. Ada juga yang mengeluh, mungkin terpaksa menahan lapar selama sebulan lamanya. Namun, rasa terima kasih mendapat jadual berbuka spontan, nasib baik ada orang bagi ‘signal’ awal.

Ganjaran hadiah yang dibawa oleh tetamu agung ini bukan alang kepalang banyaknya. Bagi yang ‘bernafsu’ besar memborong sebanyak mungkin amal kebaikan, awal-awal lagi, mungkin sebulan lebih awal sudah bersiap sedia dengan persiapan yang sepatutnya. Ternanti-nanti sepatutnya, mahu mengaut sebanyak-banyaknya ganjaran, takut terlepas, risau tidak bertemu, sikap yang semestinya bagi umat Islam. Jika makhluk dilangit dan di bumi pun bergembira akan kedatangannya dan bersedih atas pemergiannya, sepatutnya kitalah umat yang dihadiahkan khusus untuk bulan Ramadhan perlu lebih daripada itu.

“ yang lebih ni ana bawak balik, edar dekat umas”. Kata seorang ustaz sambil mengumpul lebihan edaran yang tak habis.

Edaran risalah selesai lebih kurang dalam pukul 4.30 petang

Sekurang-kurangnya, edaran risalah petang itu lebih memberikan kesan kepada petugas-petugas Islam untuk lebih menghargai kedatangan tetamu agung Ramadhan al Mubarak.

Ahlan Wa Sahlan ya Ramadhan…



Free Blogger Templates by Isnaini Dot Com and Real Estate. Powered by Blogger